HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 September 2020

Shafie Apdal ibarat jeneral perang, tunggu paluan menang

GABUNGAN Warisan Plus yang dikepalai Presiden Parti Warisan Sabah Shafie nampak konsisten dari isu-isu yang dibawa dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah kali ini.

PRN ke-16 ini nampaknya seakan-akan memberi peluang kepada Mohd. Shafie, bukan sahaja untuk mempopularkan dirinya tetapi untuk memperjelaskan kepada orang Sabah apa yang sebenarnya berlaku dalam tempoh 26 bulan kerajaan negerinya berkuasa.

Beliau memperjelaskan bagaimana sekian lama sejak Sabah merdeka 57 tahun lalu (1963 menyertai Persekutuan Malaysia bersama Sarawak), Negeri Di Bawah Bayu acap kali dipinggirkan.

Bijak sungguh Ketua Menteri `caretaker’ itu memperlihatkan diri seperti Sabah `melukut di tepi gantang’ didiskrimasikan oleh Kuala Lumpur.

Mohd. Shafie menampilkan diri sebagai orang Sabah. Dalam siri ceramahnya, dia meyakinkan pengundi bahawa berdirinya di gelanggang politik, susun langkah, bunga dan buahnya – semua demi orang Sabah.

“Isu laut dalam, yang meluluskannya Kuala Lumpur. Ikan ini di Semporna, pandai cakap Bajau ikan ini.

“Kehidupan di pantai timur ini, nelayan. Takkan kapal laut dalam semuanya datang dari bukan daerah Semporna? Kuasa ini kena kembalikan kepada kerajaan negeri untuk menentukan siapa dapat lesen tangkap ikan laut dalam.

“Tun (Dr.) Mahathir (Mohamad) setuju. Perjanjiannya, kita kena dengar suara Sabah untuk menentukan masa depan lesen laut dalam, akan ada suara dan bidang penentuan daripada kerajaan negeri Sabah,” katanya di Kampung Balimbang, Pulau Bum Bum pada hari pertama kempen,” kata Mohd. Shafie.

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin parti Sabah yang lain, habis `dipulunnya’.

Keluarga Aman iaitu Tan Sri Musa dan Datuk Seri Anifah Aman yang mengetuai Parti Cinta Sabah habis dilibasnya. Musa ditempelak kerana menempatkan legasi dalam parti-parti lain khususnya Bersatu. Anak dan menantu Musa pegang jawatan tinggi dalam Bersatu.

Mohd. Shafie seolah-olah jeneral perang yang mengepalai sendiri askar-askranya tanpa mengharapkan panglima-panglima tentera dari Semenanjung.

Dari pagi hingga ke malam, beliau meredah kawasan-kawasan pusat daerah mengundi dari barat hinggalah ke pantai timur Sabah, dari kota Kinabalu sampai ke Tawau.

Datuk Mohd. Azis Jamman menjadi orang kanannya, dengan gaya berkempen milik Mohd. Shafie.

Silap haribulan Gabungan Rakyat Sabah disertai Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan sahaja `gigit jari’ pada Sabtu 26 September pengundian PRN Sabah.

Bahkan, lebih teruk lagi dimalukan oleh Warisan dan gerombolannya – DAP, PKR, UPKO dan Amanah.-SM

Tiada ulasan: