HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 September 2020

Tak sesuai Pemuda PAS tuntut kerusi PRU15 sekarang - Shahidan

PRN SABAH | Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim berkata kenyataan mengenai agihan kerusi parlimen pada PRU15 tidak wajar dikeluarkan memandangkan PRN Sabah masih lagi berlangsung.

Ini selepas Pemuda PAS meluluskan usul supaya parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi parlimen.

Bagaimanapun, kata Shahidan Muafakat Nasional akan memutuskan kemudian soal perbincangan mengenai kerusi PRU15.

“Komen tersebut polemik politik yang tidak sesuai disebut semasa kempen (PRN Sabah) sedang berjalan.

“Jadi polemik ini tidak perlu disebut kerana kempen sedang berjalan dan perbincangan mengenai kerusi semua ini akan dibuat oleh Muafakat Nasional (MN),” katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini yang bertanyakan isu ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari (gambar, bawah) ketika berucap pada Muktamar Pemuda PAS 12 September lalu menyentuh isu peruntukan kerusi di PRN Sabah, di mana PAS tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding oleh Perikatan Nasional.

Dalam ucapannya itu, ahli parlimen Pasir Mas turut mencadangkan supaya PAS dibenarkan bertanding di kesemua kerusi parlimen di Kelantan (14), Terengganu (8), Kedah (15) dan Perlis (3).

“Kita beri isyarat kepada yang lain bahawa kesabaran kita ada had dan limit-nya. Jangan menguji kesabaran pemuda-pemuda (PAS) kita.

“Disebut tadi berapa kerusi PAS nak bertanding di pilihan raya?

“Saya nak mencadangkan di sini kerana kita dah diuji di Sabah, dan kita bersabar di Sabah, maka kita nak cadangkan bahawa PAS boleh bertanding 40 kerusi dengan selesa,” katanya sambil menyebut bilangan kerusi di setiap empat negeri tersebut.

Untuk rekod, PAS sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi daripada 73 DUN pada PRN Sabah.

'Patut bangkit isu kerusi DUN, bukan parlimen'

“Saya nak sebut bahawa kalau kita boleh bersabar di Sabah, kenapa tidak orang lain bersabar di negeri-negeri yang kita sebutkan tadi? Itu sebagai lontaran awal.

“Tapi saya tak nak melangkau pimpinan-pimpinan yang ada. Sudah tentu mereka akan berunding tapi kita nak nyatakan bahawa kalau kamu ada hasrat, kami juga ada hasrat," kata Ahmad Fadhli.

Sementara itu, mengulas lanjut tuntutan Pemuda PAS itu, Shahidan yang juga ahli parlimen Arau berkata Ahmad Fadhli sepatutnya hanya membangkitkan isu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja dan bukan agihan kerusi Dewan Rakyat.

“Saya ingat komen untuk bertanding parlimen itu tak tepat. Dia mesti komen pasal negeri (kerusi DUN)… Bukan parlimen,” katanya yang seolah-olah memberi isyarat bahawa PAS perlu menumpukan kepada kerusi DUN di negeri yang ditadbir parti itu dan bukannya parlimen.

“Sebab satu parlimen di Perlis ada lima negeri (DUN).

“Kalau (PAS) bertanding di tiga parlimen bererti ada 15 (DUN). Jadi tidak ada kerusi yang Umno boleh bertanding langsung di Perlis,” katanya.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum sebelum ini PAS bertanding di hampir kesemua kerusi parlimen di Perlis, namun pada PRU12, PAS tidak meletakkan calonnya di Kangar.

Bagaimanapun, PAS kini merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan baru, PN di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin yang dibentuk melalui Langkah Sheraton.

Agihan kerusi di kawasan majoriti Melayu pada PRU15 dibangkitkan sebelum ini, memandangkan terdapat tiga parti berasaskan Melayu-Islam di dalam PN.

Pada PRU14, PAS bersama sekutunya Berjasa dan Ikatan dalam Gagasan Sejahtera bertanding di 160 kawasan parlimen dan PAS berjaya memenangi 18 kerusi Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: