HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2009

Amaran polis jika berhimpun ISA

Oleh ASSIM HASSAN


KUALA LUMPUR - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan di ibu negara, Sabtu ini, sama ada untuk memansuh atau menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika mengeluarkan amaran itu mengingatkan, kedua-dua perhimpunan yang dianjurkan oleh dua kumpulan berbeza adalah haram dan tidak mendapat permit daripada polis.

Katanya, setakat ini terdapat dua kumpulan yang merancang untuk berhimpun antaranya di Masjid Jamek, Pasar Seni, Padang Merbok, Kompleks Sogo dan kemudiannya berarak ke Istana Negara.

"Selaku Ketua Polis Kuala Lumpur, saya beri amaran keras kepada kedua-dua pihak (penganjur) supaya menghentikan segera hasrat mereka tersebut.

"Ia (perhimpunan dan perarakan) boleh mengundang suasana tidak tenteram dan mengancam keselamatan orang awam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Muhammad Sabtu, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada individu tertentu yang merancang perhimpunan itu, Sabtu ini.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan beberapa sekatan jalan raya, dua hari sebelum tarikh perhimpunan tersebut selain penutupan beberapa jalan raya menghala ke ibu negara.

"Dalam sekatan itu, kita terpaksa menahan mana-mana kenderaan dan individu atau kumpulan yang meragukan serta disyaki akan mengikuti perhimpunan terbabit di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Beliau memberitahu, mana-mana individu atau kumpulan yang menyertai perhimpunan terbabit adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27 (5) akta sama dan 141 Kanun Keseksaan.

Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 27 (5) itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 27 (8) akta yang sama iaitu denda tidak kurang daripada RM2,000 tidak lebih RM10,000.

"Kesalahan di bawah Seksyen 141 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman di bawah 143 kanun yang sama iaitu penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muhammad Sabtu menegaskan mana-mana pihak yang ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap akta tersebut diminta menggunakan saluran betul di Parlimen.

Tiada ulasan: