HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2009

Pemuda Umno diarah berkecuali

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar


ALOR SETAR: Pemuda Umno diarah berkecuali daripada menyertai dua kumpulan yang merancang mengadakan demonstrasi berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan berarak ke Istana Negara, 1 Ogos ini, sama ada bagi menyokong atau membantah undang-undang terbabit.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin, menyifatkan perarakan itu sebagai tidak wajar kerana ketika ini pindaan terhadap ISA sedang dikaji dan diperhalusi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN), sekali gus tidak wajar rakyat mendahului proses kajian semula undang-undang berkenaan.

"Kita (Pemuda Umno) berkecuali, saya tidak akan hadir... memang saya dijemput menghadiri demonstrasi itu tetapi sebagai Ketua Pemuda Umno, saya beri arahan kepada ahli supaya berkecuali dalam hal ini kerana pindaan kepada ISA sedang berlaku. Jangan kita mendahului proses kajian semula itu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah arahkan KDN melakukan proses kajian semula, jadi tidak payahlah kita nak ada demonstrasi pro atau anti-ISA. Tiada sebab untuk melakukannya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin Pemuda Umno Kedah, di sini semalam.

Baru-baru ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) meminta Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membatalkan cadangan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos ini.

Perkasa dan Pewaris adalah sebahagian daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan berarak ke Istana Negara pada hari sama bagi menyatakan sokongan supaya ISA dikekalkan.

Khairy berkata, beliau tidak mempunyai kuasa melarang secara fizikal ahli Pemuda yang ingin menyertai demonstrasi terbabit, tetapi menegaskan mereka yang berbuat demikian bukan kapasiti sebagai ahli pergerakan itu.

Sementara itu, beliau berkata, Pemuda Umno sedang menumpukan usaha menambah keahlian baru yang terdiri daripada kelompok berpengaruh bagi memastikan kuantiti dan kualiti ahli seiring demi meningkatkan imej sayap parti berkenaan.

Tiada ulasan: