PAHANG DAILY
KUANTAN - Orang ramai yang berkunjung ke program Sambutan Hari Pengguna peringkat kebangsaan di Padang MPK 2 dekat sini, kecewa dengan "Pesta Saman Parking" yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Selama ini, memang sudah banyak rungutan yang diterima daripada penduduk bandar ini berkenaan tindakan "mendera rakyat" atas nama "undang-undang" yang dilakukan oleh pihak terbabit. Banyak laporan yang diterima berkenaan kes yang melibatkan "saman menyaman parking" ini.
Malah, terdapat juga kejadian dimana orang awam telah "menumbuk" Pegawai Penguatkuasa MPK gara-gara sikap tidak bertimbang rasa mereka tentang isu saman parking ini. Sangkaan kami, peristiwa ini tidak akan berlaku terutamanya disaat "Hari Peristiwa" diadakan di Kuantan. Namun, ternyata ia meleset sama sekali.
Malah, pihak MPK dikatakan telah mengandakan "operasi saman menyaman" ini ketika hari tersebut. Maklumlah, pada hari itu rakyat dari pelusuk negeri dan negara akan berbondong-bondong hadir ke acara seperti itu.
Agak menghairankan, kerana kehadiran ramai pengunjung ke program itu telah dihadiahkan dengan "resit saman parking" pihak terbabit. Ini amatlah tidak adil buat rakyat dan ternyata Majlis Perbandaran Kuantan tidak peka dengan keperihatinan rakyat sebenarnya. Tambah malang lagi, operasi tersebut turut diadakan sehingga lewat malam.
"Kami hadir untuk memberi sokongan kepada sambutan Hari Pengguna peringkat kebangsaan yang diadakan di sini, namun kami tidak sangka tiba-tiba dihadiahkan surat saman parking oleh pihak MPK. Walhal, kami terpaksa meletakkan motorsikal kami dimerata tempat akibat kekurangan kawasan parking yang disediakan serta kehadiran ramai orang ke sini.
Bayangkan kami terpaksa membayar kompuan RM20 semata-mata kesalahan terbabit, sedangkan kenderaan kami langsung tidak menghalang lalu lintas dan diletakkan secara teratur di hadapan sebuah restoran mamak" luah beberapa orang pengunjung yang kecewa dengan tindakan itu.
Krew kami sempat meninjau dan mengambil beberapa keping gambar di lokasi terbabit. Ternyata, sikap dua orang pegawai Penguatkuasa MPK bersama ketua mereka amatlah mengecewakan. Dengan berpakaian seragam MPK, mereka langsung tidak prihatin dengan masalah rakyat dan sanggup mengeluarkan saman parking kepada deretan motorsikal yang diletakkan secara teratur di situ.
Ketika ditanya, ketua penguatkuasa terbabit menjawab "kami melaksanakan undang-undang, jika tidak puas hati sila berhubung dengan Yang Dipertua MPK !!" katanya dengan nada keras.
Teguran krew kami langsung tidak diendahkan, malah mereka itu terus dengan "rakus" mengeluarkan saman parking terhadap deretan motorsikal berkenaan. Sedangkan kenderaan terbabit diletakkan dengan teratur dan langsung tidak menghalang lalu lintas di kawasan terbabit sebenarnya.
Inilah yang dipertikaikan, sikap bertimbang rasa langsung tidak wujud di kalangan mereka. Sedangkan mereka sendiri tahu bahawa kehadiran ribuan rakyat sempenan Hari Pengguna Kebangsaan, menyebabkan kekurangan kawasan meletak kenderaan.
Maka sepatutnya hari tersebut diberikan keizinan kepada orang ramai meletakkan kenderaan mereka dikawasan yang didapati selamat, dengan syarat ia tidak menghalang lalu lintas.
Tidak salah mengikut undang-undang sebenarnya, tetapi mereka juga harus bertimbang rasa. Ini kerana tarikh 24 hingga 26 Julai adalah hari peristiwa besar di kawasan itu. Maka itulah, sepatutnya mereka boleh mengambilkira situasi itu. Tambahan pula, ada pengunjung yang datang dari jauh (luar Kuantan). Ketika kejadian jam sudah menunjukkan 5.30 petang (Sabtu, 25 Julai).
Ini bermakna, hari itu adalah hari cuti. Tambah mengecewakan operasi saman menyaman itu diteruskan sehingga lewat malam di lokasi yang sama. Difahamkan, bukan sahaja pemilik motorsikal menjadi mangsa malah banyak juga kenderaan biasa yang turut di saman.
"Saya datang dari Kuala Lumpur, semata-mata untuk memberi sokongan kepada Hari Pengguna peringkat kebangsaan yang diadakan di bandar ini. Malah ketika sampai di Kuantan, jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Makanya saya terpaksa meletakkan kenderaan di mana-mana ruang kosong kerana semua petak letak kereta telah dipenuhi dengan kenderaan.
Anehnya, selepas selesai menyaksikan acara yang diadakan saya dihadiahkan pula resit saman parking. Ini tidak adil, dan amat zalim" kata seorang pengunjung dari Cheras, Kuala Lumpur. Beliau ternyata amat kecewa, kerana terpaksa membayar kompoun RM50 atas saman terbabit.
Sebenarnya ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kerakusan pihak Majlis Perbandaran Kuantan ini sebenarnya. Malah, difahamkan penguatkuasa juga diarahkan berkerja 24 jam sehari semalam, dari hari Isnin hingga Ahad untuk tujuan tersebut.
Ini kerana mereka tahu bahawa dengan "kompaun saman" itulah, akan membolehkan "kantung pihak berkuasa tempatan" itu bertambah dari masa ke semasa. Malah, mereka juga diberikan "target" agar setiap peguatkuasa terbabit membawa balik bilangan saman parking dalam jumlah tertentu.
Inilah yang menyebabkan penguatkuasa terpaksa bermaharajalela, biar pun ketika diluar waktu pejabat dan hari cuti umum. Malah, terdapat kejadian saman parking yang dilakukan selepas jam 12.00 malam di bandar ini.
[Apapun, tindakan yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kuantan ini amatlah tidak adil buat rakyat. Mereka terpaksa hidup dalam tekanan akibat tindakan saman parking.
Tambah mengejutkan tindakan saman juga sering dilakukan di kawasan Hospital, Masjid dan ketika hari-hari perayaan dan peristiwa seperti Jom Heboh TV3 dan sebagainya. Malah, kejadian terbaru ketika sambutan Hari Pengguna itu membuktikan betapa rakus dan kemaruknya pihak terbabit mahu mengaut duit secara mudah dari rakyat.
Jika tiada aral melintang, kami akan menganjurkan satu demontrasi aman di ibu pejabat MPK Jalan Tanah Putih dekat sini, bagi mendesak pihak terbabit membatalkan sistem bayaran parkir berkomputer yang ternyata menipu rakyat serta mengenyang tembolok pihak terbabit.
Desakan supaya sistem baru ini dikembalikan kepada sistem lama iaitu "resit kuning" kerana ia lebih relevan dan adil kepada rakyat. Bahkan, majoriti rakyat Kuantan sebenarnya sudah mengalami tindakan saman parking apabila gagal meletakkan tiket terbabit, lebih tempoh, tidak bergores dan sebagainya.
Jika ia dikembalikan kepada asal, perkara ini tidak akan berlaku lagi. Kerana berapa jam kenderaan diletakkan di kawasan terbabit, maka semakin banyak resit kuning akan diterima. Ia berbeza dengan keadaan sekarang, yang lebih banyak menguntungkan pihak terbabit.
Jika tradisi mendera rakyat ini terus berlarutan, maka sudah pasti mereka akan semakin benci dengan dasar-dasar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional. Harapan untuk menyaksikan kemenangan yang lebih besar Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang pasti akan tercapai. Justeru itu, adalah disyorkan agar Menteri Besar Pahang dapat memantau perkara ini].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan