HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2009

Manipulasi kenyataan Nik Aziz bukti Umno makin lemah

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Umno terbukti semakin lemah sehingga terpaksa memanipulasikan kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersedia menjalinkan kerjasama dengan kerajaan pusat.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan Umno kini yang semakin tidak popular begitu berharap agar dapat bersama PAS untuk mengukuhkan mereka.

Tegas beliau lagi, kenyataan Tuan Guru Nik Aziz amat jelas bahawa kerjasama yang mahu diadakan atas dasar kerajaan pusat dan kerajaan negeri bukan antara parti dan parti tetapi pemimpin Umno tidak bijak untuk memahaminya.

"Umno begitu lemah sekarang sehinggakan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz untuk adakan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat disalah ertikan dengan kerjasama antara PAS dan Umno.

"Yang jelas kini, Umno terdesak untuk mengekalkan kuasa mereka yang semakin terhakis dan mahukan PAS bersama mereka untuk terus kekal berkuasa biarpun rakyat sudah jelas menolak mereka.

"Lebih memalukan bila mereka gagal memahami apa yang diucapkan oleh Tuan Guru Nik Aziz hingga memaksa Mursyidul Am mengeluarkan satu kenyataan lain untuk mengelakkan kekeliruan," tegas beliau.

Kamaruddin juga tidak menolak sikap pemimpin Umno yang memanipulasikan kenyataan Mursyidul Am PAS itu dengan niat untuk memecahbelahkan kerjasama antara Pakatan Rakyat dan mengurangkan sokongan rakyat terhadap gabungan pembangkang itu.

Namun tegas beliau, rakyat kini sudah bijak untuk menilai maksud kenyataan Tuan Guru Nik Aziz berbanding pemimpin-pemimpin Umno.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri membuat kenyataan akan membincangkan kenyataan Nik Aziz yang sedia untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat dalam mesyuarat tertinggi Umno.

Semalam, Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan maksud sebenar kenyataan beliau yang bersedia untuk bekerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bukan antara PAS dan Umno sepertimana yang difahami oleh pemimpin-pemimpin Umno.

@Saya usulkan hubungan dua kerajaan (Negeri dan Pusat) dipulihkan sesuai dengan semangat federalisme," kata Nik Aziz.

Menteri Besar Kelantan itu menegaskan apa yang beliau mahukan ialah Barisan Nasional menjunjung semangat federalisme seperti yang diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia. - mr/mks._

Tiada ulasan: