HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2009

Tercedera bergasak di ibu pejabat MIC

MALAYSIA KINI


Ibupejabat MIC di Jalan Rahmah, Kuala Lumpur semalam menjadi tumpuan dua kumpulan berhubung isu membabitkan syarikat pelaburan parti itu - Maika Holdings.

Kumpulan pertama seramai kira-kira 150 orang, diketuai Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof P Ramasamy dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat. Mereka turut disertai pemegang saham Maika Holdings yang tidak puashati dengan syarikat tersebut.

Mereka telah berarak menuju ke ibupejabat MIC pada jam 12 tengahari, menuntut penjelasan mengenai status kewangan Maika.

Kumpulan kedua diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maika, S Vell Paari bersama pemegang saham yang puashati dengan perjalanan syarikat tersebut.

Kumpulan ini telah mula berkumpul di ibupejabat Maika yang terletak di dalam bangunan ibupejabat MIC sejak jam 9 pagi tadi dan jumlahnya semakin meningkat.

Setibanya di ibupejabat MIC, kumpulan Ramasamy tidak dibenarkan masuk menemui Vell Paari untuk menyerahkan memorandum mengenai status kewangan Maika.

Manakala penyokong Vell Paari berhimpun di dalam bangunan tersebut.

Anggota polis kelihatan memantau keadaan di situ.

Pada kira-kira jam 12.30 tengahari, Vell Paari keluar dari bangunan ibupejabat MIC untuk bertemu dengan kumpulan Ramasamy. Keadan berasak-asak dan beliau terpaksa dikelilingi oleh anggota polis bagi melindunginya.

Akibat itu mengakibatkan berlaku pergelutan antara kedua-dua kumpulan tersebut, beberapa orang dilihat tercedera.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kemudiannya bertindak segera bagi mengawal keadaan.

Ketika keadaan kecoh di luar bangunan ibupejabat MIC itu, Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu berada di dalam bangunan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan hari ini adalah ekoran rasa tidak puas hati ramai pemegang saham Maika terhadap prestasi syarikat tersebut dan menuntut supaya pelaburan mereka dipulang.

Salahkan Koperasi Nesa

Vell Paari, yang juga anak lelaki Presiden Samy Vellu, bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sedia membayar balik pelaburan pemegang saham tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana terdapat injunksi oleh Koperasi Nesa - yang diketuai bekas timbalan presiden, Datuk S Subramaniam - untuk menghalang penjualan syarikat insurans milik Maika.

Vell Paari pada awalnya mahu menjual syarikat insurans milik MIC - Oriental Capital Assurance Bhd (OCAB) - tetapi dibantah oleh Nesa, yang juga pemegang saham Maika, atas alasan penjualannya tidak menguntungkan sepenuhnya pemegang saham.

Awal minggu ini, Vell Paari memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bersedia bertemu kumpulan yang dipimpin oleh Ramasamy itu untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai status Maika.

Bagaimanapun, tambahnya, Ramasamy juga mesti bersedia memberi penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah diambilnya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang.

Vell Paari juga berkata, beliau akan mempelawa Ramasamy dan kumpulannya untuk menyertai pihaknya berarak ke pejabat Koperasi Nesa di Sentul, Kuala Lumpur, yang menghalang penjualan tersebut, dan seterusnya melambatkan pembayaran balik pelaburan pemegang saham Maika.

Tiada ulasan: