Oleh Hazirah Che Sab
KUALA LUMPUR: Kerajaan menimbang cadangan pembinaan masjid berasaskan budaya dan landskap masyarakat Cina yang boleh dijadikan pangkalan golongan itu yang beragama Islam, melakukan dakwah serta menggerakkan aktiviti mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata sama seperti Masjid Keling, Pulau Pinang, ia mengumpul penganut Islam berketurunan Cina dan badan bukan kerajaan untuk memantau serta membantu saudara baru.
“Islam adalah nikmat yang diturunkan untuk seluruh umat manusia, bukan untuk satu kelompok. Ia diwahyukan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang, keturunan atau budaya. Kita mungkin berbeza warna kulit, keturunan dan budaya tetapi disatukan dalam satu akidah.
“Justeru, konvensyen ini memperkasakan hala tuju kita semua tanpa mengira seorang Islam yang mewarisi hidayah ini atau yang baru semalam memeluk agama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan 2009 di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz.
Jamil Khir turut menyampaikan Anugerah Khas Saudara Muslim Cemerlang 2009 kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Jeanne Abdullah dan Anugerah Saudara Muslim Cemerlang kepada Timbalan Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia, Dr Muhammad Fuad Yeoh Abdullah dan pendakwah bebas, Kamarudin Abdullah, bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Konvensyen dihadiri 1,500 saudara Muslim itu dianjurkan bersama Jakim dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama majlis dan jabatan agama Islam negeri.
Pada ucapan penghargaannya, Jeanne yang berketurunan Portugis-Eurasian dan menerima hidayah Islam ketika berumur 24 tahun pada 1977 berkata, beliau sememangnya bahagia menjadi seorang Muslim.
“Ia agama yang indah yang mengajar kita untuk merendah diri dan menghormati serta mengasihani antara satu sama lain tidak kira siapa pun mereka,” katanya.
Beliau turut menyarankan Jakim berusaha menarik minat golongan muda mendekati agama dengan cara disenangi mereka.
“Dakwah perlu menggunakan pendekatan lebih lembut supaya masyarakat amnya dan orang bukan Islam khususnya memahami Islam itu indah, mudah diamalkan dan sesuai dengan naluri semula jadi manusia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan