HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2009

Wanita maut dibelasah suami cemburu

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan berbogel dan kesan lebam hampir seluruh anggota badan, dipercayai dibunuh suaminya kerana cemburu di sebuah hotel bajet di Jalan Kepong, dekat Jinjang, awal pagi semalam.

Mayat Subaidah Abu Bakar, 30, ditemui seorang pekerja hotel yang membuka pintu bilik hotel itu pada kira-kira jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa yang sudah sembilan tahun berkahwin dengan suspek berusia 34 tahun, dipercayai mati akibat dipukul dengan cerek air dan wayar elektrik serta kepalanya dihentak ke dinding berdasarkan kesan kecederaan dialami mangsa.

Katanya, mangsa dan suaminya yang tinggal di Slim River, Perak dikatakan sering bertengkar selepas menginap di bilik hotel itu sejak Jumaat lalu.

“Antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi (semalam), suspek dipercayai bertindak membogelkan mangsa sebelum memukul dengan cerek air dan wayar elektrik selepas bergaduh kerana menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Selepas jam 4 pagi, suspek bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Devi meninggalkan mangsa begitu saja sebelum pulang semula sejam kemudian tetapi tidak dapat masuk semula ke bilik itu kerana tertinggal kunci.

“Suspek terpaksa meminta pekerja hotel membuka pintu dan mereka terkejut apabila mendapati mangsa terbujur kaku dalam keadaan terlentang dan berbogel di sebelah katil,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, semalam.

Zakaria berkata, suspek melarikan diri selepas mengambil barangan miliknya dan mangsa, tetapi Devi terus berada di bilik berkenaan.

“Suspek turut menumbuk Devi yang kini ditahan polis untuk membantu siasatan.

“Kita sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di hotel, namun rakamannya kurang jelas. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Subaidah yang enggan namanya disiarkan berkata, suspek menghubunginya malam kelmarin dan memintanya datang mengambil mangsa di hotel itu untuk dibawa pulang.

Katanya, dia bersama bapa Subaidah serta dua lagi ahli keluarga mereka tiba dari Jempol, Negeri Sembilan ke Kepong pada jam 10 pagi semalam tetapi gagal menghubungi suspek sehinggalah mereka tahu kejadian sebenar apabila tiba di hotel terbabit.

“Mereka kerap bertengkar dan suaminya memang selalu memukulnya dengan besi. Subaidah juga selalu meminta bapanya mengambilnya kerana tidak tahan dipukul, tetapi pasangan itu akan berbaik semula,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat, manakala rakan mangsa masih disiasat polis.

Tiada ulasan: