HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2009

Khazanah diminta runding ambil alih semula saham Bernas

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan meminta Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) berunding bagi mengambil alih semula pegangan asing dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Beliau berkata, oleh kerana beras adalah makanan asasi dan Bernas pula merupakan penyimpan utama bahan makanan itu di negara ini, maka adalah munasabah saham 31 peratus yang dimiliki pihak luar diambil alih oleh Bernas.

Menurutnya, beliau maklum penguasaan pegangan asing tidak dapat dielakkan kerana Bernas telah diswastakan, namun berpendapat ia masih boleh dirunding dan diambil alih syarikat milik kerajaan (GLC).

''Kita tidak mahu ia terlepas ke tangan pelabur asing kerana Bernas penting untuk negara walaupun dasar liberalisasi yang diumum Perdana Menteri mengizinkan penguasaan luar.

''Saya akan minta pihak berkaitan membincangkan perkara ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan pelbagai pihak supaya saham Bernas yang kini dimiliki syarikat asing dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

Akhbar semalam melaporkan firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. kini muncul pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat strategik pembekalan beras negara itu.

Mengikut laporan tersebut, berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia baru-baru ini, Wang Tak menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 470.402 juta saham Bernas.

Ekoran itu, Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan mengambil langkah segera mengembalikan saham syarikat asing itu kepada syarikat milik rakyat negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, demi kepentingan nasional, komoditi strategik Malaysia termasuk beras mesti dikuasai rakyat negara ini jika pun tidak dikuasai kerajaan demi menjaga masa depan negara.

Tiada ulasan: