HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2009

Derma darah, dapat Sijil Simpanan Premium BSN

KOSMO!


GEORGE TOWN - Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Pulau Pinang yang menganjurkan mini karnival BSN sejak 20 Julai lalu menawarkan hadiah Sijil Simpanan Premium (SSP) sebanyak RM10 setiap seorang kepada pengunjung karnival tersebut yang menderma darah.

Aktiviti kempen derma darah itu merupakan antara pelbagai program yang diadakan sempena mini karnival yang akan berakhir pada Jumaat ini di cawangan utama BSN di Jalan Macalister di sini.

Pengurus Negeri BSN Pulau Pinang, Noor Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menyasarkan seramai 500 penderma menyertai kempen derma darah itu.

"Ia adalah salah satu tarikan baru bagi orang ramai untuk mengunjungi karnival tersebut yang turut diisi dengan program lain seperti ceramah motivasi dan ceramah agama sempena Kempen Bulan Perbankan Islam serta menyediakan perkhidmatan kaunter perbankan dalam talian kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pada karnival BSN di sini semalam.

Selain di Jalan Macalister, karnival itu turut diadakan di Giant Bayan Baru dan Tesco Extra Seberang Jaya.

Tiada ulasan: