HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2009

Nyaris jadi mangsa ‘pegawai bank’

SINARA HARIAN ONLINE


KAJANG – Walaupun membatalkan penggunaan kad kredit pada Oktober tahun lalu tetapi namanya masih lagi tercatat dalam rekod setiap transaksi penggunaan kad kredit, itu dilema yang terus menghantui suri rumah, Jenny Woon, di sini.

Jenny yang menetap di Taman Megah, di sini mendakwa, baru-baru ini dia menerima panggilan daripada sebuah bank yang ingin membuat pengesahan terhadap penggunaan kad kredit bagi pembelian barang kemas berjumlah RM3,000.

Dakwanya, dia amat terkejut apabila menerima panggilan itu berikutan kerana kad kredit tidak lagi digunakan setelah dia sendiri membatalkan penggunaannya.

“Ketika sedang melaksanakan urusan peribadi saya di Taman Alam Jaya, saya menerima panggilan pada jam 9.07 pagi daripada seorang wanita mendakwa dirinya ‘pegawai bank’ salah sebuah bank di ibu negara.

“Beliau menyatakan bahawa saya memohon kad kredit baru pada April tahun ini dan kini mempunyai tunggakan pembayaran sebanyak RM5,630 walaupun kad kredit lama dibatalkan pada Oktober tahun lalu,” dakwanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya.

Jenny mendakwa, walaupun pendaftaran baru dibuat menggunakan namanya tetapi alamat yang digunakan bukan alamat kediamannya dan pemohon menggunakan alamat 31, Jalan 4/5, Taman Mewah.

Dia berkata, ‘pegawai bank’ itu menyatakan bahawa mereka juga bekerjasama dengan Bank Negara dalam melakukan pencegahan kad palsu dan menubuhkan ‘Pusat Pencegahan Kad Palsu’.

Katanya, penubuhan pusat itu bertujuan untuk menangkap individu yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kad kredit palsu sehingga menganiaya orang awam.

“Apabila saya menyatakan bahawa saya ingin membuat laporan polis, pegawai itu tidak membenarkannya dan sebaliknya menyatakan aduan perlu dibuat kepada mereka dan akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

“Dua minit kemudian, terdapat seorang lelaki yang menggelar dirinya sebagai Zin dan mendakwa dirinya 'pegawai bank' dari Bank Negara meminta supaya saya memberikan maklumat berkenaan dengan pinjaman yang dilakukan dan nombor akaun banknya bagi memudahkan mereka melakukan semakan,” katanya.

Berikutan curiga akan kenyataan yang dibuat individu itu, Jenny membawa setiap dokumen pinjaman dan tampil ke Bank Negara untuk mendapatkan kepastian.

Menurut Jenny, apabila membuat semakan di Bank Negara, pegawai di kaunter pertanyaan menyatakan tiada sebarang Pusat Pencegahan Kad Palsu ditubuhkan dan menyatakan bahawa ia adalah kes penipuan yang sama pernah berlaku kepada beberapa orang awam sebelum ini.

Sehubungan itu, Jenny meminta kepada orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu yang meminta nombor akaun mereka, kerana ia akan memudahkan golongan itu untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Tiada ulasan: