UTUSAN ONLINE
KAMPALA - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta MIC dan juga parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya mengambil iktibar daripada keputusan bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S. Subramaniam dan pemimpin lain menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, walaupun Subramaniam sebelum ini 'tidak ada lagi dalam gelanggang utama MIC' namun parti itu dan parti komponen BN yang lain perlu mengambil pengajaran dan melakukan kajian mengenai punca tindakan mereka.
"Itu (menyertai PKR) satu keputusan yang dia buat sendiri, saya sudah lama tak jumpa Subra kerana dia sudah lama menghilangkan diri, tiada lagi dalam gelanggang utama MIC.
"Saya hendak ambil pendekatan berbeza, bukannya hendak kata 'tak apalah benda itu berlaku'. Kita harus ambil iktibar, belajar daripada apa yang berlaku ini dan mengkaji mengenai penghijrahan beberapa orang BN ke PKR sama ada ia perkara biasa atau perkembangan tidak sihat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Subramaniam, 72, menyertai PKR semalam. Bekas Naib Presiden MIC itu mendakwa 12 cawangan parti itu di Petaling Jaya akan dibubarkan dengan ahli-ahlinya bakal menjejaki langkahnya.
Ditanya bagaimana BN melihat senario keluar parti di kalangan pemimpin parti selepas tindakan Subramaniam dan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng minggu lalu, Muhyiddin berkata, parti-parti komponen BN khususnya MIC dalam kes Subramaniam, juga perlu menilai sama ada perkembangan itu memberi kesan jangka pendek atau panjang.
"Dia (Subramaniam) telah pun melakukannya (sertai PKR). Saya dengar ahli-ahli dari beberapa cawangan MIC juga akan meninggalkan parti itu. Kepimpinan MIC perlu mengambil perhatian mengenainya," katanya.
Beliau juga percaya BN mampu memperkukuhkan kedudukannya dengan majoriti pemimpinnya memberi komitmen yang baik dan berkongsi segala kekuatan yang ada.
"UMNO sedang melakukannya. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan mengenai betapa pentingnya berkongsi kekuatan yang ada, MIC juga melakukan sesuatu.
"Apa yang lebih penting ialah hasilnya nanti BN mestilah dilihat lebih kuat, bersatu dan saling menghormati antara parti-parti komponen tidak kira apa yang hendak dilakukan, jika perlu melakukan rombakan dalam kes tertentu... lihat keperluan mengikut kedudukan masing-masing dan ambil langkah yang sepatutnya untuk mengatasi konflik dalaman bagi mencapai matlamat bersama.
"Inilah yang rakyat hendak lihat, kita hendaklah bergerak dengan perubahan-perubahan ini. Datuk Seri Najib telah pun tegaskan perkara ini sebelum ini, kita kena bertindak selari dengan beliau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan