HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2009

‘Playboy’ warga Bangladesh ditahan

Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN


GEORGETOWN: Seorang lelaki warga Bangladesh disyaki berlagak seperti ‘playboy’ dengan memikat gadis tempatan sebelum diperdaya hingga sanggup memberi khidmat seks kepada rakan senegaranya dengan kadar bayaran tertentu.

Kegiatan lelaki berusia 30-an itu terbongkar apabila sepasukan tiga penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) menyerbu sebuah rumah kedai dua tingkat di Lebuh Mc Nair di sini, yang disyaki menjadi ‘sarang’ aktiviti maksiat, jam 5 pagi kelmarin.

Ketua Unit Operasi Jaipp, Khairul Azman Azizan berkata, pemeriksaan mendapati rumah kedai dua tingkat itu didiami 10 lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja kontrak binaan dan menyewa premis berkenaan dengan kadar RM200 sebulan untuk satu bilik.

Katanya, rumah kedai berkenaan didapati mempunyai enam bilik dan suspek dikatakan menjadi ‘tuan rumah’ kepada rakan senegara dengan menyewa premis berkenaan pada harga RM600 sebulan.

“Ini bermakna, dia memperolehi keuntungan bersih RM600 sebulan. Lebih daripada itu, siasatan lanjut mendapati suspek menyediakan seorang wanita warga tempatan untuk memberi khidmat seks di dalam sebuah bilik di rumah kepada rakan senegaranya dengan kadar bayaran tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, Khairul Azman berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mencari bukti sebelum suspek boleh didakwa atas kegiatan itu.

Menurutnya, ketika serbuan seorang wanita tempatan ditahan di dalam bilik suspek. Wanita itu hanya memakai baju kelawar sambil berbaring di atas katil manakala suspek berkain pelikat tanpa baju.

“Pemeriksaan kemudian mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang ikatan mahram termasuk dokumen pernikahan,” katanya.

Khairul Azman berkata, wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah memberi alasan tiada tempat tinggal dan menumpang di rumah suspek dan dalam pemeriksaan itu turut ditemui sembilan lagi lelaki warga Bangladesh berusia antara 20 hingga 40-an.

“Semua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jalan Patani untuk laporan tangkapan sebelum dibebaskan dengan jaminan Jaipp.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek pernah ditahan polis kerana menyamar sebagai anggota polis dan dihukum penjara sebelum ini,” katanya.

Siasatan lanjut kini masih dijalankan untuk mengenal pasti aktiviti maksiat suspek mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.

Tiada ulasan: