HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2009

Lebih 3,000 Penan kebuluran

Oleh RANIA PARAN


MIRI - Lebih 3,000 penduduk Penan dari enam penempatan di Hulu Rejang, Belaga, mengalami kebuluran sejak tiga bulan lalu selepas tanaman padi, satu-satunya sumber makanan mereka musnah dirosakkan monyet.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, lima penempatan yang paling kritikal ialah Long Abit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim dan Long Ladin diikuti Lusong Laku membabitkan 264 buah keluarga.

''Keadaan di Lusong Laku agak baik kerana mereka masih mempunyai tanaman padi untuk dimakan, namun ia tidak mencukupi memandangkan kesemua penduduk dari kelima-lima penempatan kini bertumpu ke sana untuk mendapatkan makanan.

''Sejak tiga bulan lalu, penduduk Penan di situ terpaksa memakan ubi kayu dan linut iaitu sejenis makanan daripada tepung sago. Selain itu mereka terpaksa memakan tumbuhan liar,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Joseph Entulu tiba di sini selepas pulang mengadakan lawatan kerja ke Hulu Rejang.

Beliau berkata, kebuluran ini dijangka berlarutan sehingga musim menanam padi baru tiba pada Februari tahun hadapan.

''Masalahnya, penduduk di situ menanam padi di kawasan yang berselerak dan ini menyebabkan tanaman mereka mudah diserang oleh monyet,'' katanya.

Mengulas lanjut, Joseph Entulu berkata, beliau akan mengemukakan masalah itu kepada Kabinet negeri bagi menyalurkan bantuan yang sewajarnya dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, sebuah jawatankuasa khas PRS di cawangan Miri, Bintulu dan Sibu akan ditubuhkan bagi menyalurkan bantuan segera termasuk bantuan kewangan dan bekalan makanan.

''Selain itu, kita akan mencari jalan lain untuk memastikan penduduk di situ mendapat makanan dan keperluan lain secepat mungkin,'' katanya.

Tiada ulasan: