HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2009

Penghuni kuarters DBKL di San Peng mula berpindah

Oleh SUHANA VERU


KUALA LUMPUR - Kebanyakan penduduk kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan San Peng di sini mula berpindah ke sebuah hotel di Jalan Sungai Besi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, DBKL akan menyediakan perumahan untuk kesemua penduduk terbabit.

"Untuk tujuan itu, mereka perlu berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Puchong namun sebahagian sahaja daripada penduduk terbabit yang mahu berpindah ke situ.

"Oleh itu, saya akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur agar mereka dapat dipindahkan ke PPR di sekitar kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kuarters itu di sini semalam.

AZIZAH dan anaknya, Athirah Nurdiana mengangkat televisyen selepas diarah berpindah kerana kuarters mereka tidak lagi selamat untuk didiami.

Menurut beliau, kejadian tanah mendap yang berlaku kira-kira pukul 6 petang kelmarin dipercayai berpunca daripada kebocoran sebatang paip air bawah tanah.

Semalam Kosmo! melaporkan seramai 100 penduduk kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan San Peng terpaksa berpindah selepas sebatang jalan di hadapan kediaman mereka mendap.

Tiada ulasan: