UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA - Sebahagian anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diserap sebagai polis sukarela dalam usaha membanteras jenayah di kawasan-kawasan panas di seluruh negara.
Langkah itu merupakan antara tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) susulan mesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, seramai 254 anggota dua agensi itu dipilih sebagai kumpulan pertama pasukan polis sukarela yang akan mula bertugas pada 16 Ogos ini.
Katanya, kumpulan pertama itu akan menjalani latihan di Pusat Latihan JPAM di Bangi dekat sini.
''Penambahan keanggotaan pasukan polis sukarela ini bergantung kepada jumlah kawasan panas dan bilangan anggota polis yang ada di situ.
''Setakat ini saya tidak mahu mendedahkan kawasan panas berkenaan, manakala bidang kuasa polis sukarela itu akan saya umumkan nanti," ujarnya selepas mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, penubuhan polis sukarela itu akan diperluaskan ke pelbagai agensi termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan badan-badan beruniform.
Katanya, kementerian menggalakkan orang ramai menyertai Rela sekiranya mereka berminat untuk dipilih sebagai polis sukarela.
Bagaimanapun jelasnya, Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dikerahkan terlebih dahulu ke kawasan-kawasan panas mulai 2 Ogos ini sementara menunggu pasukan polis sukarela tamat menjalani latihan mereka.
Hishammuddin berkata, KDN juga akan melaksanakan beberapa pendekatan segera bagi menambah baik kebajikan dan perkhidmatan anggota polis secara menyeluruh.
''Sebagai permulaan, KDN akan menaik taraf balai-balai polis di seluruh negara khususnya di kawasan panas yang kerap berlaku jenayah jalanan.
''Ini bermakna balai polis di kawasan panas khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor akan dinaik taraf pada kadar segera," ujarnya.
Kata beliau, KDN juga sedang menilai mekanisme terbaik bagi menyalurkan peruntukan kecil secara terus kepada balai-balai polis di seluruh negara untuk melakukan kerja baik pulih.
Tambahnya, anggota polis juga akan dilengkapkan dengan peralatan asas seperti baju kalis peluru dan pertahanan diri yang lain supaya dapat bertugas dengan selamat.
''Salah satu aspek yang akan turut diberi penekanan secara serius adalah mengenai pelajaran anak-anak anggota dan pegawai polis bagi memastikan kebajikan dan masa depan mereka terbela,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan