HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2009

‘Haram anjur, sertai demonstrasi jalanan’

Oleh Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Islam mengharamkan umatnya menganjur atau menyertai aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan negara seperti perhimpunan haram bagi mendesak kerajaan menghapuskan dan mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu ini.

Pelbagai pihak termasuk menteri berkaitan, mufti dan ulama menyifatkan berdosa bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam perhimpunan itu kerana jelas bertentangan dengan Islam kerana boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata Islam tidak menggalakkan mana-mana umatnya untuk menyertai dan menganjurkan majlis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Beliau berkata, perhimpunan haram itu tidak patut diteruskan kerana boleh mencetuskan kebimbangan semua pihak seolah-olah tiada kawalan keselamatan dalam negara.

“Kerajaan sedang membuat pertimbangan terhadap ISA, oleh itu tidak perlu mengadakan demonstrasi secara besar-besaran atau tunjuk perasaan di jalanan kerana ia boleh diselesaikan di meja rundingan.

“Beri masa pada kerajaan untuk buat yang terbaik kerana tiada guna berdemonstrasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Dari segi agama, adalah haram bersama-sama orang yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat. Maka orang yang akan menyertai dan menganjurkan perhimpunan itu berdosa jika tetap meneruskan perhimpunan itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata jika perhimpunan yang boleh mendatangkan huru hara, maka adalah haram mana-mana pihak untuk menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, jika undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, maka hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

“Wajib ke atas semua pihak untuk taat pada undang-undang demi menjaga keselamatan negara, oleh itu berdosa jika undang-undang tidak dipatuhi,” katanya.

“Mana-mana pihak yang ingin menyertai perhimpunan itu dinasihatkan supaya membatalkan hasrat mereka, sebaliknya melakukan protes secara aman sama ada melalui surat atau mengadakan pertemuan bagi mendesak kerajaan,” katanya.

Tokoh agama, Datuk Dusuki Ahmad turut sependapat dengan kedua-dua tokoh berkenaan kerana menyifatkan perhimpunan itu tidak memberi manfaat dan faedah kepada agama, bangsa dan negara.

Katanya, setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah dan diyakini boleh memudaratkan adalah haram untuk disertai atau dianjurkan.

“Perhimpunan itu jelas boleh menimbulkan huru hara, menyulitkan selain menyebabkan pemikiran masyarakat bercelaru.

“Perhimpunan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kepartian dan pihak yang tersepit adalah mereka yang tidak berdosa.

“Malah, kerajaan juga berdosa jika gagal mengambil tindakan walaupun mengetahui perhimpunan itu boleh menimbulkan huru hara dan ketegangan,” katanya.

Tiada ulasan: