HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2009

AMK Selangor anggap misi BN malapetaka

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM- Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor anggap misi UMNO atau Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) adalah malapetaka bagi rakyat.

Ketua Penerangan AMK, Mohd Ezli Mashut berkata, pastinya rakyat Selangor tidak mahu igauan ‘penyapu’ sebagai hadiah dan kezaliman yang dilakukan kembali semula mentadbir di negeri ini.

“AMK Selangor yakin rakyat Selangor kini amat selesa menikmati kemudahan air percuma 20 milimeter padu yang dilaksanakan oleh kerajaan PR. Bahkan itu salah satu usaha PR merakyatkan ekonomi Selangor.

“Usaha tersebut langsung tidak pernah diberi kepada rakyat Selangor oleh kerajaan BN selama 50 tahun mentadbir,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, jika kerajaan BN kembali memerintah Selangor maka kita yakin nikmat yang besar itu akan dimansuhkan kerana selama ini jelas kerajaan BN berusaha keras menentang usaha murni pemberian air percuma kepada rakyat negeri.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor terdahulu Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang mendakwa misi merampas Selangor mudah adalah satu kenyataan yang angkuh dan takbur.

“Kenyataan tersebut jelas bahawa beliau cuba menidakkan kebijaksanaan rakyat negeri ini yang berani membuat perubahan besar dalam 50 tahun yang menjadi titik tolak penolakan kepada kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mendahulukan kepentingan sempit mereka.

“Malah, rakyat negeri ini masih belum lupa era pemerintahan terdahulu yang menzalimi rakyat kebanyakan,” katanya.

Mohd Ezli berkata, walaupun pihak pembangkang (BN) di negeri ini menggasak hebat daripada semua penjuru. Keyakinan rakyat Selangor terhadap kerajaan PR tidak berganjak malahan semakin diterima oleh semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain itu, suasana keadilan yang selama ini menjadi harapan baru untuk rakyat negeri ini semakin terserlah daripada hari ke hari. Bahkan kajian soal selidik juga dilakukan dan menyaksikan trend rakyat negeri ini semakin selesa serta boleh menerima pembaharuan yang dilaksanakan oleh PR.

“Selain itu, AMK yakin rakyat kini semakin merasai suasana perubahan semenjak PR mengambil alih negeri ini. Keyakinan pelabur luar terhadap iklim ekonomi dan prospek masa hadapan semakin meningkat walaupun iklim ekonomi dunia masih tidak menentu dan sukar diramal.

Beliau berkata, Selangor kini adalah Selangor Baharu yang menjadi tempat kediaman dan impian untuk semua agama dan bangsa. Malah, rakyat juga sudah boleh melupakan dan melupuskan BN dalam kamus politik di negeri ini.

Tiada ulasan: