Salmah Mat Husain
KOTA BHARU - Satu ketika pemimpin Umno begitu mengharap PAS bagi memperkuat ketuanan Melayu, dan di saat lain pula pemimpin Umno mendera pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.
Ia langsung tidak mencerminkan semangat 1Malaysia seperti diimpikan perdana menteri.
Adegan itu sudah lama berlaku. Dan baru-baru ini diulang semula Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Noh Omar apabila melarang pegawai di bawah kementerian yang diterajuinya menghadiri mesyuarat anjuran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas isu itu berkata, tindakan menteri berkenaan amat tidak wajar kerana cuba menyekat hak rakyat.
"Tindakan sedemikian seumpama kembali semula di zaman Jepun yang berpuak-puak dan dengki. Sekarang dengan kebangkitan Islam keadaan sedemikian amat tidak sesuai lagi.
"Tapi tiba-tiba timbul semula masalah begitu ketika perdana menteri melaungkan semangat 1Malaysia," ujarnya selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di Dataran Warisan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, baru-baru ini.
Lebih 200 gerai jualan disediakan pada program tersebut. Selain itu terdapat pameran buah-buahan tempatan, jualan buku, ikan keli organik, aksesori wanita dan ubatan tradisional.
Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan arahan berkuatkuasa serta merta di mana pegawai di bawah kementerian berkenaan dilarang menghadiri mesyuarat anjuran kerajaan Pakatan Rakyat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri itu amat tidak wajar yang langsung tidak mencerminkan semangat federalisme.
"Arahan itu tidak masuk akal sedangkan Kelantan sebuah negeri di bawah Malaysia, bagaimana seorang menteri memberi arahan begitu.
"Jadi saya amat dukacita berhubung arahan terbaru itu daripada seorang menteri," ujarnya.
Beliau juga menyifatkan kenyataan menteri berkenaan menggali lubang untuk menimbus Umno. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan