HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2009

Usah mudah beri komputer mini

SINAR HARIAN ONLINE


JELEBU - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyarankan Kerajaan Negeri supaya tidak mengambil langkah seperti kerajaan Terengganu dalam memberi kemudahan komputer mini atau 'e-book' dengan begitu mudah kepada murid sekolah sehingga menyebabkan mereka mudah menyimpan dan menonton bahan lucah.

Beliau berkata, negara bakal berdepan banyak cabaran seperti itu (pembabitan murid sekolah dalam menyimpan dan menonton bahan lucah) pada masa akan datang disebabkan kewujudan pelbagai program lucah dan program yang mudah menarik golongan muda disimpan dalam komputer masing-masing.

Menurutnya,: pemberian komputer mini atau 'e-book' seperti yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu itu seharusnya perlu diselaraskan di bawah Kerajaan Pusat, khususnya Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

“Bagaimanapun, perkara ini boleh dicegah sekiranya pengagihan komputer itu tidak dilaksanakan begitu mudah serta cara mengoperasinya dikawal oleh ibu bapa dan guru. Murid-murid juga seharusnya tidak diberi kebebasan untuk membawa pulang 'e-book' berkenaan.

“Saya akan minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Menembak VVIP dan Jemputan anjuran Polis Diraja Malaysia Daerah Jelebu di Lapang Sasar Titi, semalam.

Dr Rais berkata demikian ketika mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar semalam, mengenai sekumpulan murid tahun lima sebuah sekolah di Terengganu menggunakan komputer mini atau 'e-Book' yang diedarkan oleh Kerajaan Negeri untuk menyimpan dan menonton bahan lucah.

Menurutnya, ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam mencegah anak-anak mereka daripada terbabit dengan menyimpan dan menonton bahan lucah.

“Penguatkuasaan bagi masalah ini adalah terhad kerana Kerajaan Negeri tidak mempunyai penguatkuasaan, yang ada cuma di bawah SKMM dan kemampuan terhad kerana hanya di Kuala Lumpur sahaja," katanya.

Katanya, SKMM akan meningkatkan penguatkuasaannya dalam masalah berkenaan dan akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi membendung masalah itu.

Tiada ulasan: