HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2009

Hanya 23% syarikat milik bumiputera

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Hanya 23 peratus atau 194,412 daripada jumlah keseluruhan syarikat yang diperbadankan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merupakan syarikat bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 856,699 syarikat diperbadankan dengan SSM.

‘‘Mengenai perniagaan yang berdaftar dengan SSM pula, sehingga 30 Jun lalu jumlah keseluruhannya ialah 3,951,457 dan hanya 1,290,930 perniagaan atau 33 peratus adalah milik bumiputera,’’ ujarnya.

Rahim berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Kempen Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu perlu mencontohi masyarakat Cina di mana 80 peratus daripada mereka mempunyai syarikat kerana kumpulan itu sentiasa terdedah kepada budaya perniagaan.

‘‘Segala hartanah yang dimiliki sesebuah keluarga misalnya rumah dan sebagainya boleh ditukar dalam bentuk saham apabila keluarga berkenaan mendaftarkan syarikat mereka,’’ katanya.

Kata Rahim, susulan kepada pelancaran kempen 1K1S di Kuala Lumpur Mac lalu, Gabem dengan kerjasama SSM akan menganjurkan kempen yang sama di Kuala Terengganu pada 15 Ogos ini.

‘‘Kempen di Kuala Lumpur berjaya menarik seramai 854 peserta dan kami berharap untuk menyebarkan maklumat di Wilayah Timur pula sebelum menyebarkan kempen ini ke wilayah lain.

‘‘Gabem turut menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang berminat untuk mengetahui tentang 1K1S,’’ katanya.

Tiada ulasan: