HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2009

CCTV di kawasan panas jenayah

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM


PUTRAJAYA - Sebanyak 900 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang mencatat kes jenayah jalanan tertinggi di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kawasan-kawasan terlibat dikenal pasti sebagai sasaran mengurangkan 20 peratus kadar jenayah itu menjelang akhir tahun depan.

''Sebanyak 300 CCTV akan dipasang di Kuala Lumpur dan Selangor, 150 di Pulau Pinang dan 150 di Johor di samping menambah pencahayaan di kawasan itu.

''Pemasangan CCTV ini akan menimbulkan rasa gerun kepada penjenayah kerana aksi, perlakuan dan pergerakan mereka sentiasa dipantau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata, bilangan anggota polis akan ditambah di kawasan panas tersebut untuk membuat rondaan secara lebih kerap.

Ini termasuk menambah kelengkapan mereka seperti baju kalis peluru dan peralatan pertahanan diri.

''Kita akan memastikan lebih ramai anggota polis membuat rondaan berbanding tugas lain seperti pentadbiran dan perkeranian," katanya.

Hishammuddin berkata, kerajaan juga akan menilai semula peranan dan tanggungjawab 570,890 ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan sukarelawan lain membanteras jenayah itu.

''Kerajaan akan turut meningkatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum terutama generasi muda dalam pasukan sukarela ini.

''Anggota-anggota berpengalaman daripada pasukan sukarela ini akan dilatih oleh PDRM demi memastikan mereka bersedia, berkemahiran dan berpengetahuan dalam mengendalikan tugas semasa operasi dijalankan," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, satu tribunal atau mahkamah khas akan diwujudkan untuk mempercepatkan proses perundangan kes-kes tertangguh.

''KDN juga akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat terhadap pesalah bagi mengurangkan kesesakan banduan di penjara-penjara seluruh negara," katanya.

Tiada ulasan: