HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2009

Perkenal label warna setiap kandungan gula

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Kerajaan digesa memperkenalkan label merah, oren dan hijau untuk setiap kandungan gula pada produk makanan dan minuman.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kadar pengambilan bahan itu yang kini semakin membimbangkan.

Katanya, kadar pengambilan gula di kalangan rakyat pada tahap amat serius dengan purata 26 sudu teh setiap hari atau 3.9 kilogram sebulan.

Menurutnya, kadar pengambilan gula yang tinggi menyumbang kepada peningkatan penghidap diabetes di negara ini.

''Ramai yang didapati sukar untuk mempercayai mereka boleh meminum purata sehingga 26 sudu teh gula setiap hari, Namun itulah hakikatnya.

''Dengan memperkenalkan label warna isyarat pada setiap barangan, masyarakat dapat menilai kepentingan dan perbandingan kandungan gula sama ada tinggi, sederhana atau rendah dalam setiap produk itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sehingga ini, Malaysia menduduki tangga keempat tertinggi di Asia dengan 800,000 pesakit pada 2007 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1.3 juta tahun depan.

Katanya, masyarakat perlu mengurangkan pengambilan gula kerana ia dikaitkan dengan lebih 60 jenis penyakit termasuk kanser, diabetes, kegemukan, masalah jantung dan osteoporosis.

Menurut Mohamed Idris, kesan pengambilan bahan itu dapat dilihat melalui masalah kesihatan yang teruk dan penyakit yang menyerang penduduk di negara ini setiap hari.

Katanya, kerajaan perlu bekerjasama dengan pengeluar untuk meminda label pada produk masing-masing dengan mempamerkan kandungan sebenar gula dalam barangan mereka.

''Iklan makanan dan minuman yang mengandungi terlalu banyak gula juga perlu dihentikan di samping mempergiatkan kempen secara besar-besaran menerusi media massa untuk mendidik masyarakat mengenai keburukan pengambilan gula secara berlebihan.

''Langkah itu perlu kerana statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan 11.6 juta daripada 16 juta orang dewasa di negara ini diserang penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula yang tinggi,'' katanya.

Tiada ulasan: