HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2009

Syor kaji tempoh tahan 60 hari

Oleh DJ Dolasoh


KUALA KANGSAR: Tempoh penahanan tanpa bicara selama 60 hari mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dicadang dipendekkan kepada 30 hari sebagai usaha `menutup ruang' kemungkinan berlaku penyalahgunaan undang-undang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata cadangan itu mungkin boleh diterima oleh jemaah menteri kerana setakat ini kerajaan Barisan Nasional (BN) belum memikirkan untuk menghapuskan akta berkenaan.

Katanya, ISA perlu dikekalkan seperti di negara lain kerana ia `jalan pintas' mengekang ancaman subversif serta mengelak huru-hara dalam negara dengan penggunaan akta itu satu cara untuk mendapatkan maklumat, sekali gus mengelak sesuatu lebih buruk berlaku.

“Saya fikir tempoh 60 hari penahanan boleh dikaji semula. Jika nak hapus ISA, belum lagi difikirkan kerajaan BN, tetapi jika kerajaan lain memerintah, itu cerita lain,” katanya.

Bercakap selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Guru Bersara Parlimen Padang Rengas, di sini kelmarin, beliau berkata, cadangan itu belum dimaklumkan kepada jemaah menteri dan kini sedang menunggu kertas kajian semula undang-undang berkenaan.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas memberi contoh, jika pihak berkuasa mendapat maklumat ada pihak mahu mengebom tempat ibadat atau pusat perniagaan, ia tidak boleh dibiarkan sehingga berlaku letupan.

“Pihak berkuasa kena intip, jangan tunggu mereka bom dulu baru hendak tangkap. Ini amat bahaya sebab baru hendak ambil tindakan.

“Jika dikaji, jelas ISA menjamin keselamatan termasuk bagi mengelak kejadian menghina dan mencaci agama lain yang termasuk dalam kes menghasut. Jika tiada ISA, boleh lakukan apa saja dan akhirnya berlaku pergaduhan kaum dan agama yang menyebabkan banyak nyawa terkorban.

“Betul kita ada hak asasi, tetapi jika babitkan orang lain, ia bukan lagi jadi hak asasi. Umpama jika bermain pedang di padang tanpa kena orang lain, itu hak asasi individu. Tapi jika terkena orang lain, itu bukan menjadi hak asasi individu itu lagi,” katanya.

Tiada ulasan: