HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2009

Umno S'gor: 'Kalau Pakatan tak salah, kenapa gelabah'

Abdul Rahim Sabri


Umno Selangor menasihatkan ADUN Pakatan Rakyat yang berdepan dengan dakwaan salahguna wang peruntukan ADUN, tidak perlu menggelabah dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan tersebut.

"Kalau tak salah, kenapa gelabah. Biar SPRM membuat siasatan.

"Dulu kata dekat Umno dan BN rasuah, zalim. Sekarang kena batang hidung mereka, mereka kata konspirasi daripada BN," kata ketua penerangannya, Abdul Syukur Idrus.

Abdul Syukur yang juga ketua Umno bahagian Selayang mengulas dakwaan Kelab Penyokong Kerajaan Selangor bahawa siasatan terhadap tujuh ADUN Selangor berhubung dakwaan tersebut - yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock - adalah sebahagian konspirasi BN untuk merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat seperti di Perak.

Mengulas lanjut, Abdul Syukur menganggap siasatan yang dijalankan oleh SPRM itu adalah satu prosedur biasa berdasarkan fakta yang diperolehi mereka.

"SPRM teruskanlah siasatan. Jangan jadikan isu ini sebagai halangan untuk meneruskan siasatan," katanya sambil menambah terdapat pemimpin Umno yang disoalsiasat oleh SPRM dan mereka memberi kerjasama sepenuhnya.

Sehubungan itu, Abdul Syukur yang juga ADUN Kuang, tidak timbul dakwaan apa yang berlaku adalah konspirasi BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Kelmarin Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Ng Suee Lin mendakwa, konspirasi BN itu bermula dengan penangkapan exco Selangor, Teresa Kok di bawah akta ISA, September tahun lalu.

Tangkapan ADUN Kinrara dan ahli parlimen Seputeh itu didakwa berhubung isu penggunaan pembesar suara bagi kegunaan azan di sebuah masjid di Bandar Kinrara, Puchong.

Manakala episod kedua pula, menurut Ng, membabitkan kes exco Selangor, Ronnie Liu yang didakwa menghalang tugas anggota penguatkuasa di sebuah hotel di Puchong.

Ronnie, juga ADUN Pandamaran, dihadapkan ke mahkamah pada 17 November tahun lalu atas tuduhan bersubahat menghalang tugas penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada menutup sebuah hotel pada 2007.

Episod ketiga pula, dakwa Ng lagi, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa menyelenggara kereta sendiri dengan peruntukan negeri dan mengagihkan lembu korban daripada dana anak syarikat Selangor di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak, awal tahun ini.

Ng, yang juga ADUN Sekincan, mendakwa bahawa episod seterusnya ialah perbuatan menyebarkan gambar bogel exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Februari lalu.

Tiada ulasan: