HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Julai 2009

'Pulanglah Siti'

Oleh M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB


KUANTAN - "Kami akan menerima lelaki tersebut seadanya," rayu keluarga kepada seorang bekas pelajar perempuan yang menghilangkan diri selepas dipercayai mengikut teman lelakinya sejak dua bulan lalu.

Bekas pelajar kolej swasta itu, Siti Salehah Sidek, 21, menghilangkan diri selepas dia dikatakan keluar dari rumahnya di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu kira-kira 7.30 pagi pada 26 Jun lalu.

Abang ipar gadis tersebut, Mohd. Amran Che Mood, 32, berkata, Siti Salehah memberi alasan untuk keluar mengambil komputer riba daripada rakannya di Kuantan.

Bagaimanapun, katanya, dia sekeluarga percaya Siti Salehah keluar untuk bertemu teman lelakinya sebelum menghilangkan diri.

Sehubungan itu, Mohd. Amran berharap supaya teman lelaki Siti Salehah memulangkan semula adik iparnya ke pangkuan keluarga yang sangat merinduinya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan menolak permintaan lelaki tersebut jika dia ikhlas untuk mengahwini adik iparnya itu.

Sejak kehilangan Siti Salehah, jelasnya, dia sekeluarga menggunakan pelbagai cara untuk mengesannya.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, ada orang melihat kelibat adiknya bersama seorang lelaki di kawasan Perumahan Datuk Syahbandar, Pekan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, kakak bekas pelajar itu, Sarina Sidek, 32, merayu adiknya pulang ke pangkuan keluarga kerana mereka bimbang keselamatannya.

Menurutnya, adiknya yang baru menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan dan katering di sebuah kolej di Rompin, berjanji untuk pulang ke rumah pada hari dia pergi ke Kuantan.

"Saya percaya Siti Salehah telah mengikut seorang lelaki yang bernama Saifol Awal Kamaluddin yang berasal dari Pekan," katanya.

Sesiapa yang mengetahui di mana Salehah diminta menghubungi keluarga berkenaan menerusi talian 013-9437426 (Amran), 019-9053844 (Sarina) dan 014-8323408 (Safinah).

Tiada ulasan: