Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan MARTIN KAHAR
KUALA LUMPUR - Ajaran Qadiani atau Jamaah Ahmadiyya Muslim yang cuba dihidupkan semula di Malaysia ternyata menimbulkan kegemparan di kalangan umat Islam.
Sebenarnya, ajaran itu telah bertapak di Malaysia pada tahun 1930-an yang mana ketika itu aktiviti mereka berpusat di Jeram, Kuala Selangor.
Ini bermakna hampir 80 tahun ajaran Qadiani sudah menyusup masuk sehingga satu persidangan diadakan antara ulama dan Sultan Selangor pada tahun 1953 setelah kerajaan menerima bantahan masyarakat pada ketika itu.
Akhirnya pada tahun 1975, Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan Qadiani bukan ajaran Islam kerana bertentangan dengan Islam yang sebenar seperti pemimpin ajaran itu yang mendakwa sebagai Nabi dan menerima wahyu.
Ada pula pemimpin Qadiani yang mendakwa diri mereka sebagai Nabi Isa dan Imam Mahdi serta mempunyai mukjizat manakala ibadah haji didakwa boleh dilakukan di Qadian, Pakistan serta terdapat aktiviti mengubah ayat-ayat al-Quran.
Kemunculan terbaru Qadiani menyebabkan ada yang marah dan tidak kurang pula yang risau kalau-kalau ahli keluarga mereka secara tidak sengaja terjebak dalam ajaran Qadiani yang mana ciri dan perbuatannya begitu mirip kepada amalan Islam.
Lebih membimbangkan, kepimpinan Qadiani terbaru yang dikepalai oleh seorang warga emas telah menjalankan aktiviti mereka secara terang-terangan di Selayang tanpa mempedulikan sensitiviti orang sekeliling.
"Saya cukup takut anak-anak muda kampung terpengaruh kerana apa yang saya tahu pendekatan Qadiani cukup berhemah.
"Sama ada anda percaya atau tidak, saya sendiri pernah diajak mendalami ajaran mereka, sungguh tidak patut," kata seorang penduduk kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pengikut Qadiani dikatakan 'berani' meluaskan pengaruh mereka kembali disebabkan pertubuhan itu dinaungi oleh rangkaian antarabangsa.
Difahamkan mereka mempunyai kira-kira 200 juta penganut ajaran itu di seluruh dunia meliputi negara-negara Asia, Afrika, Australia, Eropah termasuk negara-negara utara dan selatan Amerika.
Tidak seperti pertubuhan sesat lain, Qadiani atau Ahmadiyya Muslim Community (AMC) mempunyai kewangan yang paling kukuh sehingga mampu memiliki stesen TV satelit sendiri yang boleh diakses di laman web.
Melalui teknologi itu juga, segala aktiviti mahu pun perkembangan semasa Qadiani dapat diketahui dan membuktikan ajaran tersebut bertaraf global di samping terdapat lebih daripada 25 terjemahan bahasa seperti bahasa Jepun dan Uzbek dalam web itu.
Selain sarat dengan pelbagai informasi tentang ajaran, antara yang boleh dilihat ialah beberapa paparan dokumentari, kenyataan akhbar, buletin semasa, tafsiran al-Quran yang mempunyai lebih 100 bahasa termasuk bahasa Melayu.
Terkini, pengendalinya memaklumkan, laman web itu kini boleh dilayari menerusi telefon bimbit.
Sesungguhnya, teknologi menjadi 'pertaruhan' penting dalam mengembangkan ajaran itu.
Dalam satu temu bual dengan pegawai di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), mereka memberitahu, dalam usaha untuk membanteras ajaran itu, pernah suatu ketika JAIS didatangi pemimpin terbesar Qadiani yang cuba menghalang usaha murni JAIS.
"Mereka ada rantaian antarabangsa tetapi kita sentiasa mencari jalan untuk melumpuhkan Qadiani di Malaysia," kata Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd. Rani.
Apa juga halangan yang ditempuh oleh pihak berkuasa, pertubuhan itu perlu dilumpuhkan kerana bukan sahaja boleh menjejaskan keselamatan negara malah boleh merosakkan akidah generasi muda yang kini dihambat dengan pelbagai teori kehidupan.
1 ulasan:
http://barahinahmadi.blogspot.com/2009/09/respon-terhadap-penulis-kosmo.html
Catat Ulasan