HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 September 2009

Kenderaan ke utara lima kali ganda

UTUSAN ONLINE


IPOH - Kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke utara adalah lima kali ganda lebih banyak daripada arah selatan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, nisbah tersebut dijangka bertambah selepas waktu pejabat petang ini dan esok, apabila warga Lembah Klang mula pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

''Keadaan lalu-lintas di PLUS masih lancar pagi ini tetapi keadaan mungkin bertambah sesak menjelang petang ini sampai malam esok," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter di sini hari ini.

Turut serta, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Hamzah Abu Bakar dan para pemberita dari Kuala Lumpur.

Cho Ha memberitahu, dalam tempoh enam hari Ops Sikap dijalankan iaitu bermula 13 September hingga pagi ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima sebanyak 231 panggilan menyelamat.

''Kebanyakan panggilan menyelamat ini membabitkan kemalangan jalan raya dan pada masa sama, bomba terima panggilan operasi biasa iaitu untuk lain-lain jenis operasi menyelamat.

''Dalam tempoh itu juga, terdapat 20 kes kematian melibatkan kemalangan kenderaan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 9,600 daripada 13,000 anggota bomba di seluruh negara terlibat dalam Ops Sikap tahun ini.

Katanya, ia termasuk 240 orang bertugas secara giliran di 16 plaza tol utama dan selebihnya menjalankan tugas seperti biasa di balai bomba seluruh negara.

''Dalam Ops Sikap kali ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan 16 jentera memadam api, 16 motosikal dan sebuah helikopter untuk membuat pemantauan keadaan di lebuh raya," katanya.

Pada majlis tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyampaikan bungkusan hari raya kepada para anggota yang bertugas pada hari raya.

Tiada ulasan: