HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 September 2009

JPM sedia bantu negara pulihkan mat rempit

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri akan menyediakan kelengkapan yang diperlukan bagi menjayakan program pemulihan khas Remaja Perkasa Negara untuk mat rempit.

Menterinya, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan bekerjasama menjayakan program itu.

Katanya, disebabkan ia adalah projek perintis, maka tumpuan lebih perlu diberikan bagi memastikan ia mencapai sasaran yang dikehendaki.

''Kita akan memastikan peserta program ini mendapat bimbingan seperti yang dirancang,'' ujarnya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, seramai 50 orang mat rempit berusia 18 hingga 25 tahun bakal menyertai kumpulan pertama program pemulihan khas Remaja Perkasa Negara awal Januari depan.

Beliau berkata, projek di bawah Permata Negara itu bertujuan membentuk mereka menjadi belia yang berjaya dalam kehidupan di samping mendedahkan mereka dengan kemahiran memimpin dan menguasai diri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat sebarang tugasan atau peranan yang khusus dalam menjayakan program berkenaan.

Bagaimanapun jelas beliau, apabila projek tersebut dijalankan kelak, kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya.

''Kementerian menyokong projek berkenaan kerana ia akan membantu golongan mat rempit menjadi belia yang berguna kepada negara,'' katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye mengalu-alukan langkah kerajaan mewujudkan program berkenaan yang disifatkannya sebagai landasan untuk remaja membentuk diri mereka.

Katanya, langkah itu penting kerana remaja termasuk golongan mat rempit merupakan bakal pemimpin yang akan menjadi tonggak pentadbiran negara kelak, justeru mereka perlu diberikan pendidikan dan bimbingan dari peringkat awal.

''Dalam mendidik mereka, kita tidak boleh sentiasa mengutuk tingkah laku mereka sebaliknya memberi tumpuan kepada diri mereka dan cara yang terbaik adalah dengan menjayakan program sebegini,'' jelasnya.

Menurut Lam Thye, tempoh enam bulan untuk melaksanakan aktiviti yang sesuai dan menarik kepada golongan itu adalah mencukupi jika tumpuan diberikan sepenuhnya.

Beliau berharap usaha kerajaan untuk memulihkan golongan terbabit dapat diperbaharui berbanding program-program sebelum ini dengan menerapkan pelbagai aspek penting khusus untuk remaja.

Tiada ulasan: