HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 September 2009

Dr Mahathir gembira rumah terbuka kembali ke Seri Perdana

BERNAMA


PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berasa gembira kerana majlis rumah terbuka kembali ke kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, selepas kali terakhir ia diadakan di situ lima tahun lalu.

Negarawan itu yang berbaju Melayu merah jambu turut serta pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinet di Seri Perdana bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah.

Beliau tiba pada jam 2.45 petang dan meluangkan kira-kira 30 minit di majlis itu.

"Saya senang hati yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengambil keputusan untuk menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya di sini. Tiada majlis seperti ini di sini sejak lima tahun yang lalu.

"Orang ramai mahu datang ke sini (Seri Perdana) kerana ini antara tempat yang mereka mahu lihat. Tempat ini milik rakyat," katanya ketika ditemui pemberita.

Sejak lima tahun lalu, di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, majlis rumah terbuka Hari Raya diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Bercakap mengenai hal lain, Dr Mahathir berkata beliau telah bertemu dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di Istana Negara pada tadi semasa jamuan Hari Raya yang dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Beliau berjabat tangan dengan saya. Tidak, beliau tidak memohon maaf...Saya rasa ia tidak perlu," kata Dr Mahathir sambil tersenyum apabila ditanya sama ada Samy Vellu ada memohon maaf.

Minggu lalu, Dr Mahathir meminta Samy Vellu berundur daripada jawatan Presiden MIC yang disandangnya sejak 1981 kerana menurutnya pemimpin parti itu kini liabiliti kepada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, di perhimpunan agung MIC minggu lalu, seorang perwakilan mengusulkan yang gambar Dr Mahathir dikalung dengan selipar kerana kenyataan itu.

Usul itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan anggota perwakilan itu telah digantung daripada parti dengan Samy Vellu sendiri mengumumkan yang beliau akan memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana usul perwakilan itu.

Tiada ulasan: