HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2009

Keluarga mangsa yang masih hilang tetap menunggu di Kuala Dipang

BERNAMA


KAMPAR: Suasana sedih menyelubungi tempat kejadian jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang apabila ibu bapa dua pelajar perempuan yang masih hilang hari ini menabur bunga dan turut melakukan upacara keagamaan berhampiran jambatan itu.

Sebuah bantal kepunyaan N.Divyahshree, 12, salah sorang mangsa yang masih belum dijumpai, juga dihanyutkan ke dalam Sungai Kampar.

Ibu dan bapa kepada Divyahshree dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Gopeng, dan M.Darapharshini, 11 dari SJK Tamil Mambang Di Awan tetap menunggu di tempat itu walaupun hujan.

Operasi mencari masih berterusan walaupun hujan lebat sejak 3.30 petang menyukarkan keadaan dengan air Sungai Kampar mengalir deras dan semakin dinaiki air apabila hujan lebat juga turun sekejap-sekejap sejak petang semalam.

Namun operasi itu dilanjutkan sejauh 30km ke Sungai Galah dekat Batu Gajah. Sejak tragedi yang berlaku pada 10.30 malam hari Isnin, pasukan mencari dan menyelamat telah menemui mayat N.Dina Deve, 11, dari SJK Tamil Mambang di Awan.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata operasi itu mesti diteruskan bagi memastikan keduadua mangsa tidak hanyut lagi jauh.

"Kekuatan anggota SAR masih 500 orang seperti semalam...Walaupun hujan ia tidak menghalang operasi ini diteruskan," katanya di sini.

Turut kelihatan enam pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dari Kuala Lumpur turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja siasatan terhadap struktur jambatan gantung itu.

Tiada ulasan: