HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2009

Elaun guru Kafa naik RM200, bilal dibayar bulanan

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Bajet Perak 2010 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, semalam memberikan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat yang meliputi peruntukan baru dan ‘durian runtuh’.

Ia meliputi kenaikan elaun guru Kelas Fardu Ain dan al-Quran (Kafa) daripada RM75 kepada RM200 membabitkan peruntukan RM4.68 juta untuk 3,120 guru Kafa seluruh negeri mulai Januari ini.

Zambry berkata, kerajaan negeri juga buat pertama kali bersetuju membayar elaun bulanan RM200 kepada 2,496 bilal dan siak berbanding elaun tahunan yang diterima sebelum ini.

Peruntukan RM4 juta pula bagi membiayai perlindungan insurans takaful berkonsepkan Tabaruk untuk warga emas, ibu dan bapa tunggal, golongan miskin, miskin tegar serta orang kurang upaya (OKU), katanya.

Kerajaan negeri juga katanya, akan mewujudkan Tabung Pendidikan Negeri yang mana setiap kelahiran baru anak Perak menerima RM200 sebagai insentif simpanan pendidikan yang disalurkan menerusi Yayasan Perak mulai 2010.

Penubuhan Tabung Khas Pendidikan Anak-anak Kaum India membabitkan peruntukan RM1 juta juga dicadangkan selain peruntukan untuk Hal Ehwal Bukan Islam dinaikkan daripada RM2 juta kepada RM3.5 juta dengan peruntukan RM500,000 dikhaskan untuk kaum Sikh.

Buat pertama kali juga, peruntukan RM1 juta disediakan bagi elaun guru mengajar mata pelajaran agama dan al-Quran di Sekolah Agama Rakyat serta projek perintis membangunkan Maahad Tahfiz di Manjung bernilai RM1 juta sebelum dikembangkan ke setiap daerah di negeri ini.

Selain itu katanya, peruntukan khas RM1 juta untuk aktiviti sosiobudaya Orang Asli serta RM2 juta bagi program pengupayaan belia.

Zambry berkata, kerajaan negeri turut menyediakan RM1 juta bagi menampung sebahagian perbelanjaan utiliti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil manakala sembilan sekolah Cina persendirian (SUWA) menerima bantuan RM400,000 setahun.

Katanya, peruntukan RM3 juta disediakan bagi membangunkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di semua Pejabat Daerah dan Tanah serta perlindungan insurans berkelompok kepada 600 pemandu di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Kos menunaikan haji kepada lima Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam dan 10 Penolong Pendaftar, ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri manakala Penolong Pendaftar juga akan menerima kemudahan rawatan hospital kelas 2 secara percuma membabitkan peruntukan keseluruhan RM450,000, katanya.

Bagi program pembasmian kemiskinan, peruntukan RM2 juta disediakan bagi membaik pulih rumah manakala RM4 juta bagi membasmi kemiskinan serta RM1 juta bagi Yayasan Bina Upaya.

Tiada ulasan: