HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Oktober 2009

Musa Aman Bunuh Demokrasi Di Sabah?

Sabahkini


MERDEKA Center Kuala Lumpur telah menganjurkan satu sesi dialog dengan para cendikiawan, badan-badan politik dan NGO bertempat di Dewan Sipadan, Marina Court, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Oktober 2009 bersamaan dengan hari Sabtu mulai jam 1.00 tengah hari hingga jam 5.00 petang. Dialog tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 120 orang yang merupakan jemputan khas.

Moderator dari Merdeka Centre Kuala Lumpur berkata, apapun pandangan para hadirin akan disampaikan kepada pihak Kerajaan, tidak mustahil kalau Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Persekutuan juga dapat membaca untuk Kerajaan memperbaiki kelemahan-kelemahan Kerajaan.

Moderator meminta Halik Zaman untuk memberikan pandangan beliau terhadap isu demokrasi di Sabah dan perkara yang tidak disenangi oleh sebilangan rakyat Sabah.

Halik Zaman: Tuan Moderator, dalam pemerhatian saya sebagai seorang yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik di Sabah, saya dapati demokrasi di Sabah semenjak UMNO/BN berkuasa dan sejak Datuk Seri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, demokrasi di Negeri Sabah ini sudah setengah mati.

Dalam pemerhatian saya, Musa Aman terlalu menggunakan kuasa untuk menekan parti parti pembangkang sehingga parti-parti pembangkang tidak boleh menggunakan padang, dewan dan balai raya untuk berceramah di seluruh Sabah. Akhbar-akhbar juga diugut untuk membuat liputan sepenuhnya untuk menyiar kegiatan parti pembangkang. Media Kerajaan pula secara terbuka memberi publisiti hanya kepada UMNO dan Barisan Nasional sahaja.

Perkara rasuah Musa Aman, walaupun sudah didedahkan di blog-blog dan laporan polis juga sudah dibuat serta laporan kepada SPRM juga telah dibuat oleh rakyat tetapi Kerajaan Pusat menganggap sepi sahaja begitu juga SPRM walaupun datang ke Sabah untuk mengambil kenyataan tetapi kenyataan tersebut dibuat cuma semata-mata untuk cover-up dan jawapan dari SPRM “No case to answer”. Ini seolah-olah dirasakan oleh sebilangan Sabahan bahawa SPRM pun sudah diUMNOkan di Sabah dan Malaysia.

Projek-projek mega bernilai ratusan juta dibuat secara ‘negotiate tender’ untuk membolehkan anak-anak buah Datuk Musa dan kroni-kroni sahaja yang membolotnya. Harga minyak petrol membebankan rakyat Sabah. Hairan, kalau harga minyak mentah petrol naik pun Kerajaan rugi dan kalau harga petrol turun pun Kerajaan rugi. Ini menunjukkan Kerajaan Barisan Nasional tidak bijak mentadbir Kerajaan Malaysia.

Kos hidup penduduk-penduduk kampung melambung tinggi. Bayangkan di Sabah, harga ayam segar satu kilo RM11.50 tidak pun diambil peduli oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan Musa Aman selaku Ketua Menteri. Lain lagi harga ikan, harga gula, susu, pendek kata semua keperluan dapur semua penduduk kampung terus melambung tinggi.

SPR juga bila mengendalikan PRU di Sabah tidak ada ketelusan, ada ruang-ruang yang boleh diragukan dan boleh dimanipulasikan oleh SPR iaitu misalnya bila sahaja jam 5.00 petang pengundian ditutup. Semua wakil-wakil calon diarah balik ke dewan tempat kiraan undi. Siapa tahu kalau SPR dan pegawai-pegawainya mahu memangkah undi untuk BN dari undi pengundi-pengundi yang tidak hadir setelah jam 5.00 petang. Boleh berlaku penipuan kalau keadaan memerlukan?.

Begitu juga undi pos, setiap seorang tentera boleh mengundi dua atau tiga kali kalau kodnya diubah-ubah kerana pihak tentera tidak menggunakan kad pengenalan ia cuma menggunakan Nombor Kod Tentera sahaja. Ini juga boleh dimanipulasi dengan memberi seorang tentera tiga kod tenteranya misalnya undi pos di Sandakan lain, di Tawau dan Keningau lain. Ia boleh meragukan kerana ada cara boleh diadakan penipuan.

Sebenarnya orang Sabah bukan benci kepada UMNO/BN tetapi pengundi-pengundi Sabah sudah mula muak dengan fe’el dan perangai para pemimpin UMNO di Sabah terutama sekali rakyat Sabah mahu Ketua Menteri Musa Aman segera diturunkan dan digantikan dengan pemimpin yang berwibawa.

Tiada ulasan: