HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2009

Untung, tapi tak bayar dividen

MERDEKA REVIEW


Menurut Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008, sesetengah syarikat yang lebih 50% sahamnya dipegang kerajaan persekutuan, tidak membayar dividen kepada pemegang sahamnya (kerajaan) walaupun mencatat keuntungan, mengakibatkan tersumbatnya salah satu sumber pendapatan utama kerajaan.Laporan yang dikeluarkan pada minggu lepas ini mendedahkan bahawa kerajaan persekutuan telah melabur RM 24.11 bilion pada 99 buah syarikat. Antaranya, RM 22.51 bilion dilaburkan pada 50 buah syarikat yang lebih 50% sahamnya dimiliki kerajaan persekutuan.

Menurut laporan tersebut, tujuan asal kerajaan melabur dalam syarikat ini adalah untuk mendapat pulangan yang wajar, memastikan kepentingan kerajaan dalam bidang strategik terjamin, selain melabur dalam bidang yang mana sektor swasta tidak sanggup menyertai.

Analisa terhadap Laporan Kewangan Tahunan 48 daripada 50 buah syarikat tersebut menunjukkan bahawa 27 buah syarikat kerajaan memperolehi keuntungan sejumlah RM 78.0 bilion sebelum cukai; 21 buah syarikat yang selebihnya pula mengalami kerugian sebanyak RM870 juta.

Tetapi, antara 27 buah syarikat yang mencatat keuntungan, hanya 14 buah syarikat yang membayar dividen sejumlah RM 72.21 bilion kepada kerajaan persekutuan.

13 syarikat tidak bayar dividen

Dengan kata lain, 13 buah syarikat yang mencatat keuntungan pada tahun 2007 tidak membayar dividen kepada kerajaan persekutuan. Keadaan sedemikian bukan berlaku buat kali pertama. Dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, syarikat tersebut mengekalkan diri dalam keadaan “ada untung tapi tidak bayar dividen”. Antaranya, keadaan kewangan sering tidak stabil kerana pengoperasian yang tidak cekap, menjurus kepada situasi di mana “wang berada dalam tangan tetapi tidak terdaya membayar dividen”.

Misalnya, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) yang dimiliki kerajaan persekutuan sepenuhnya dengan RM 2.71 bilion, walaupun mencatat keuntungan bersih pada tahun 2005, 2006 dan 2008, namun tidak pernah membayar dividen kepada kerajaan persekutuan.

Tujuan penubuhan EXIM Bank adalah untuk membekalkan kemudahan pinjaman dana kepada syarikat tempatan yang terlibat dalam perniagaan eksport, pelaburan di luar negara untuk memastikan syarikat tempatan mempunyai daya saing. Dari tahun 2006 hingga 2008, EXIM Bank telah meluluskan 115 pinjaman atau jaminan, yang jumlahnya bernilai RM 3.3 bilion.

Laporan Jabatan Audit Negara menunjukkan bahawa EXIM Bank tidak begitu cekap dalam menguruskan pinjaman, termasuk meluluskan pinjaman yang tidak memenuhi syarat, tanpa jaminan bank atau aset cecair sebagai cagaran, tidak cermat ketika melepaskan pinjaman, dan penangguhan pembayaran semakin bertambah. Yang lebih penting, EXIM Bank mencatat keuntungan pada tahun 2005, 2006 dan 2008, tetapi tidak pernah membayar dividen kepada kerajaan persekutuan.

JKP juga tidak bayar dividen

Oleh itu, Ketua Audit Negara menyeru agar Lembaga Pengarah EXIM Bank dan Kementerian Kewangan mengambil langkah tertentu, termasuk mengehadkan lulusan pinjaman kepada risiko yang boleh ditanggung peminjam, Lembaga Pengarah dan pengurus perlu meneliti status kewangan peminjam, malah mengikuti perkembangan seterusnya setelah pinjaman diluluskan.

Sementara itu, Ketua Audit Negara juga bertanggapan bahawa Lembaga Pengarah perlu memperuntukkan wang daripada keuntungan untuk dijadikan dividen kepada kerajaan, sebagai pemegang saham yang berhak mendapat pulangan.

Selain itu, JKP Sdn Bhd yang juga dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan RM10.25 juta juga antara syarikat yang tidak membayar dividen walaupun mencatat keuntungan. Tujuan penubuhan JKP Sdn Bhd adalah untuk membantu melaksanakan projek sosial ekonomi oleh Jawatankuasa Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, agar memastikan kaum bumiputera tidak terpinggir dalam pembangunan ekonomi negeri tersebut.

Namun, laporan Jabatan Audit Negara menunjukkan selain masalah yang biasa wujud seperti penangguhan projek, tiada perjanjian ditandatangani antara JKP dengan Perunding Projek, antara proksi pengutip sewa dengan penyewa, malah tidak mengutip sewa, mengakibatkan sewa yang dihutang menggunung. Syarikat tersebut turut mencatat untung bersih pada tahun 2005 dan 2006, tetapi tidak membayar dividen kepada kerajaan.

Juga, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1 Julai 2001, walaupun mencatat keuntungan pada tahun 2007, tidak membayar dividen kepada kerajaan.

Di samping itu, Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd (gambar kiri) yang ditubuhkan pada tahun 1994, walaupun mencatat keuntungan pada tahun 2006 dan 2007, namun berdepan dengan ketidakstabilan kewangan yang mengakibatkan syarikat tersebut gagal membayar dividen kepada kerajaan persekutuan. Menurut laporan, perjanjian antara pihak pengurusan dan pengoperasian tidak dipatuhi. Pengoperasi hotel tidak menjelaskan bayaran dalam masa yang ditetapkan, malah pihak pengurusan tidak menguruskan kewangan mengikut undang-undang, menjurus kepada situasi “untung tapi tidak bayar dividen”.

Tiada ulasan: