HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Oktober 2009

Nik Aziz berdepan PAS malam ini

MALAYSIA KINI


Tumpuan mereka yang mengikuti konflik dalaman PAS semuanya kepada mesyuarat khas malam ini bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" yang dibangkitkan oleh mursyidul amnya.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula tiba-tiba mengubah pendirian - asalnya dilaporkan "keberatan" untuk hadir - dengan kesediaan berdepan dengan jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negeri.

Memetik kenyataan setiausaha politik menteri besar itu Anual Bakhri Haron, media rasmi PAS Harakahdaily semalam melaporkan keberatan antaranya kerana DUN Kelantan masih bersidang.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Nik Aziz, yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, akan diundang untuk membentangkan pendapatnya dalam mesyuarat khas itu.

Ia dijadualkan diadakan jam 8.30 malam ini di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur susulan desakan tegas Nik Aziz untuk menganjurkan muktamar khas berhubung beberapa pemimpin kanan parti yang suka pada idea kerajaan perpaduan.

Selain Mustafa sendiri, mereka yang dipertikaikan oleh tokoh besar PAS itu termasuklah timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Pertukaran sikap Nik Aziz dalam tempoh 24 jam sebelum mesyuarat itu menjadikan pertemuan malam ini lebih menarik dan bakal menjadi fokus utama penyokong parti itu.

Dr Hassan, yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS, dijangka hadir. Beliau menjadi sasaran utama kritikan Nik Aziz susulan kontroversi dalam pentadbiran kerajaan Selangor yang dikaitkan dengannya.

Tiada ulasan: