HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2009

'Murid lompat, main atas jambatan sebelum runtuh

BERNAMA


Antara 30 hingga 50 murid berada di atas jambatan gantung yang menghubungkan tapak perkhemahan dan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang ketika ia runtuh semalam.

Kejadian itu menyebabkan seorang murid mati lemas dihanyut air deras Sungai Kampar, dua lagi masih hilang, manakala 19 yang lain selamat.

Seorang murid yang terselamat K Mathivanan, 12, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika ada antara mereka menyeberangi jambatan itu untuk ke sekolah untuk makan malam dan ada yang balik ke kem.

Beliau berkata sebelum runtuh, jambatan itu bergoyang kerana ada murid yang melompat dan bermain semasa berada di atasnya.

"Masa itu ada 30 hingga 50 murid atas jambatan. Tiba-tiba sahaja kami tercampak ke dalam sungai dan saya sempat berpaut pada tali...air sungai sangat kuat tetapi saya dapat menarik badan untuk naik," katanya.

Mathivanan berkata suasana seronok tiba-tiba menjadi keadaan kelam kabut dan ramai murid menjerit meminta tolong dan ada yang menangis.

Beliau adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan di situ.

Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lepas bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini, kata seorang anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Jambatan itu menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

Seorang guru Mohd Safri Abdul Rafar berkata beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.

"Saya terus melompat pagar dan terjun ke dalam sungai, saya sempat membawa naik tiga atau empat murid...air sangat deras dan saya sendiri hampir lemas dan terpaksa naik ke tebing," katanya.

Safri berkata beliau kemudian turun semula dan sempat membawa naik lima lagi murid.

"Pengawal sekolah ini yang dikenali sebagai Idris sempat menyelamatkan enam murid, tapi saya sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan seorang murid yang berpegang pada tali besi sebelum melihat dia dihanyutkan air," katanya.

Perkhemahan yang bermula hari ini, dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam, kata guru SK Seri Tronoh itu.

Seramai 23 guru terlibat dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lepas.

Perkhemahan yang sama diadakan serentak hari ini di Daerah Larut, Matang dan Selama serta Daerah Manjung, katanya.

Murid yang menyertai perkhemahan itu terdiri daripada pelbagai bangsa sejajar dengan objektif perkhemahan untuk mereka berinteraksi dan melakukan aktiviti bersama-sama seperti memasak masakan tradisional, mengikuti latihan kebudayaan dan bermain pelbagai jenis permainan rakyat.

Tiada ulasan: