BERNAMA
KAMPAR: Seorang ibu tidak menyangka tindakan membenarkan anaknya mengikuti kursus kokurikulum di tapak perkhemahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di sini menyebabkan anaknya hilang dalam kejadian jambatan gantung runtuh di sini semalam.
R.Nagaratha, 40an, ibu kepada M. Darapharshini, 12, tidak menyangka sikap anaknya yang beriyaiya mahu menyertai kursus itu merupakan tanda anaknya akan meninggalkannya.
"Saya tidak sangka niat Darapharshini menyertai kursus jadi macam ini walaupun pada mulanya saya tidak membenarkan dia mengikuti kursus itu," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata sebelum kejadian anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau tandatanda pelik tetapi beliau redha dengan apa yang terjadi.
Katanya, anak perempuan tunggal dari tiga beradik itu sebelum ini pernah mengikuti aktiviti serupa tetapi tidak menyangka penglibatannya kali kedua membawa kepada kecelakaan. "Dia sangat baik, belajar pun sangat pandai malah patuh pada perintah orang tua," katanya sambil menitiskan air mata.
Sementara itu, R.Chandra, 40an, ibu saudara kepada V.Diryasree, 11, seorang lagi mangsa yang masih hilang, berkata dia terkejut apabila menerima panggilan daripada adik iparnya.
Katanya, dia yang dari Pulau Pinang bergegas ke sekolah itu namun berasa sedih kerana sehingga kini masih belum menerima sebarang maklumat mengenai Diryasree.
"Kita tunggu dari pagi tadi hingga sekarang masih belum terima sebarang berita mengenai penemuannya tetapi kita tetap sabar menunggu sehingga mayat dibawa keluar," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata operasi mencari dan menyelamat dihentikan buat sementara waktu kira-kira pukul 6 petang ini kerana hujan lebat dan arus sungai deras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan