BERNAMA
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada pakatan pembangkang mungkin tidak akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu ini, jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC), Khalil Idham Lim, berkata keputusan berkenaan bagaimanapun akan ditentukan oleh pimpinan pakatan pembangkang negeri.
"Matlamat kami adalah hadir sidang...kami akan serah kepada pimpinan jika keputusan sebaliknya," katanya pada sidang media di pejabat Pas Perak di sini, hari ini.
Semalam, Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain, berkata Adun pakatan pembangkang akan membuat laporan polis meminta jaminan keselamatan daripada polis kerana dikhuatiri ada ancaman terhadap Adun pakatan pembangkang sebelum dan ketika sidang.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah, ketika dihubungi hari ini berkata, polis akan menjaga keselamatan sepanjang sidang berkenaan termasuk Adun Barisan Nasional atau pakatan pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan