MSTAR ONLINE
BEKAS Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berpendapat krisis dalaman PAS kini amat berkait dengan ‘bisikan halus’ yang dibisikkan oleh pihak tertentu kepada ‘telinga’ di kalangan pemimpin utama PAS.
Bisikan ini, katanya, datang dari satu pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersendiri dan mempengaruhi pihak-pihak tertentu.
‘Pembisik’ itu, menurut Dr Asri, hanya menumpukan perhatian kepada agenda politiknya sahaja.
Jika dalam sejarahnya, pihak pembisik ini pernah hampir merebahkan parti lain, maka tidak mustahil ia akan berlaku kepada PAS.
Namun krisis kali ini, menurut pengamatan beliau, agak serius.
"Ia mungkin boleh didramakan seakan sudah tamat, tetapi bak kata “I can forgive, but I cannot forget”. Luka ini akan terbuka pula di masa hadapan dan akan mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung perhubungan, tindakan, kepercayaan dan perasaan antara sesama PAS," katanya.
Jelas Dr Asri, meskipun beliau mempunyai perbezaan pendapat dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun beliau akur kewujudan PAS dalam kerangka negara demokrasi adalah satu keperluan politik.
Ini, katanya, bagi mengimbangi monopoli politik yang akhirnya akan mencetuskan pemerintahan yang tidak memperdulikan hasrat dan cita rakyat.
"Sekalipun saya mempunyai pandangan yang berbeza dalam beberapa persoalan asas dan pendekatan, namun sebagai rakyat Malaysia saya melihat kejatuhan atau kemusnahan PAS dalam keadaan semasa boleh mengundang impak negatif dalam percaturan politik negara.
"PAS jika berpegang dengan prinsip Islamnya, dapatlah melindungi identiti Islam yang sepatutnya sentiasa zahir atau mendominasi keadaan negara dan masyarakat Malaysia. Maka adalah dibimbangi adanya usaha menghancurkan PAS secara langsung atau tidak langsung," jelasnya dalam kiriman emel sebentar tadi.
Walaupun demikian, Dr Asri berharap antara hikmah kejadian yang berlaku ini adalah dapat membuang perasaan fanatik sesetengah pihak yang berlebihan atau melebihi patut kepada pemimpin tertentu.
"Pendapat atau pandangan seseorang pemimpin bukan dinilai dari segi nama, atau gelaran, atau peribadi semata, tetapi yang paling mustahak dilihat alasan dan hujah yang dikemukakan dalam setiap pendapat.
"Apabila bertembung antara pemimpin dengan pemimpin, ahli PAS mesti menggunakan kebijaksaan, ketajaman minda, penilaian seimbangan dalam membuat keputusan, bukan hanya dengan emosi semata," kata tokoh agama yang disegani ini.
Satu perkara yang wajar PAS akui, jelasnya, ialah ramai orang dalam PAS yang sangat sensitif jika ada teguran luar. Jika tidak disambut teguran itu dengan maki hamun pun, unsur-unsur mengutuk pemberi pendapat itu akan muncul.
"Bukan sahaja orang bawahan, bahkan pihak atasan PAS. Sebagai contoh yang terkini, lihatlah jawapan Ketua Penerangan PAS Pusat terhadap pandangan seorang tokoh akademik yang terkenal cenderung kepada PR, Prof Dr Aziz Bari.
"Dalam menjawab kritikan kekalahan PAS di Bagan Pinang, Ketua Penerangan PAS itu menulis: “Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof. Memanglah menjadi ahli akademik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.
"Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan Pas cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan. Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang.
"Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan Pas dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah...”
"Inilah layanan terhadap kritikan yang saya kira jujur dari Prof Dr. Aziz Bari," kata Dr Asri.
Dr Asri berkata, ini tidak bermakna beliau setuju atau tidak dengan pandangan Dr. Aziz Bari, tetapi cuma beliau hairan melihat bahasa sindir dan kutuk yang digunakan ke atas Dr Aziz pada hal tokoh akademik itu boleh dikategorikan sebagai rakan mereka.
"Jika pun kita tidak bersetuju, gunakanlah uslub atau gaya bahasa yang lebih terhormat," katanya.
Soalnya lagi, "Bagaimanakah nanti jika PAS berjaya membentuk kerajaan, dan orang-orang awam, ahli akademik serta berkecuali ingin menyampaikan pandangan? Saya bimbang ruang demokrasi atau bersuara akan menjadi semakin sempit. Pun begitu, alhamdulillah dalam suasana krisis ini, sudah ada pihak dalam PAS juga yang cuba menilai pandangan luar."
Akhirnya, kata Dr Asri, PAS hendaklah benar-benar tahu siapakah musuhnya yang sebenar.
Dr Asri turut menggariskan beberapa perkara berikut yang patut difikirkan oleh PAS:
1. Siapakah yang boleh mengheret PAS melanggar prinsip-prinsip Islam yang holistik yang bukan sekadar isu tahalluf siyasi semata?
2. Siapakah yang ‘sebenarnya’ mencetuskan permusuhan dalaman secara langsung dan tidak langsung dalam PAS selama ini?
3. Jika PAS berfikir ada pemimpinnya yang patut disingkirkan, maka penyingkiran itu adakah atas alasan pelanggar prinsip, atau sekadar pelanggaran pendekatan?
4. Antara mengerat ‘orang dalam’ dan mengerat ‘orang menumpang’ yang menyusahkan; manakah yang patut diutamakan?
5. Adakah PAS yang memerlukan PR atau PR memerlukan PAS?
6. Adakah agenda Islamik itu yang lebih besar dalam PAS atau agenda politik PR?7.
7. Apa beza dari masa depan Islam antara kerjasama dengan DAP dan PKR dan kerjasama dengan UMNO?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan