HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Oktober 2009

44 wakil Jakim keluar sijil halal di luar negara

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melantik 44 badan Islam di 22 negara sebagai wakil yang diberi tanggungjawab mengeluarkan pensijilan halal di luar negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata umat Islam dan bukan Islam juga akan lebih yakin dengan pelbagai produk khususnya yang dikeluarkan syarikat Malaysia di luar negara apabila diiktiraf halal.

Katanya, bagi tujuan itu syarikat Malaysia yang melabur di luar negara diberi perhatian khusus untuk dapat pensijilan halal.

“Pengiktirafan halal produk keluaran syarikat Malaysia di luar negara penting kerana produk itu bukan saja dieksport semula ke negara ini, tetapi memasuki pasaran global termasuk di negara Islam.

“Taraf pensijilan halal Jakim akan dipertingkatkan supaya ia juga diterima pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri bersama Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di sini, semalam.

Pada Bajet 2010 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyentuh usaha memperkasakan sektor industri halal dan kerajaan juga akan menggubal Akta Halal dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri.

Kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menjalankan beberapa langkah termasuk sijil halal Jakim mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti mengadakan kerjasama dengan institusi antarabangsa untuk mendapatkan pensijilan piawaian seperti Hazard Analysis dan Critical Control Point (HACCP) Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) bagi tujuan itu.

Wan Mohamad berkata, berikutan kerajaan memberi tanggungjawab kepada Jakim untuk menguruskan pensijilan halal dalam dan luar negara mulai 1 Ogos lalu, pihaknya melatih pegawai untuk meningkatkan pengetahuan dan prosedur pengeluarannya.

Tiada ulasan: