HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Oktober 2009

Pempena akan terus beroperasi - Dr Ng

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pempena Sdn Bhd, subsidiari Pelancongan Malaysia yang dilanda kontroversi, akan meneruskan urusannya dan operasi seterusnya akan bergantung pada hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan polis, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Ng berkata tidak ada sebab bagi Pempena menutup urusannya kerana ia sedang mengutip balik hutang dari beberapa syarikat.

"Tentunya Pempena isu yang kita tidak ketepikan begitu saja. Sebuah jawatankausa khas telahpun dibentuk bagi menyiasat seluruh isu. Ya, MACC masih menyiasat, aduan polis telah dibuat, mereka kini sedang menyiapkan siasatan.

"Syarikatsyarikat yang tidak produktif, yang sebenarnya tidak mempunyai liabiliti, kita akan tutup," Ng memberitahu sidang media selepas pelancaran pameran 'KL Sunday 1Malaysia Family Fair' di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MATiC) di sini hari ini.

Ng berkata kementeriannya telah mendapatkan bantuan sebuah institusi kewangan bagi mengutip semula hutang berkenaan.

Pempena Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 1976, telah mengemukakan sembilan aduan kepada MACC dan polis pada 2008 dan tahun ini mengenai penyelewengan pelaburan dan usaha sama yang telah dibuat dengan beberapa syarikat; setelah hal ini didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang disiarkan Isnin lepas.

Mengenai pameran KL Sunday 1Malaysia itu Dr Ng berkata program rekreasi itu dianjurkan berasaskan maklum balas daripada pelancong. Ia untuk mempromosi Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan.

"Matlamat kedua kementerian ialah untuk menghimpunkan keluarga, agar pelancong boleh merasakan semangat berhimpun bersama keluarga," kata beliau.

Kira-kira 44 gerai menjual pelbagai jenis barang termasuk produk kraftangan, cenderahati dan alatalat permainan disediakan di pameran itu yang dibuka setiap Ahad hingga hujung tahun ini dari 8.30 pagi hingga 3 petang.

Ng berkata matlamatnya ialah untuk mengadakan hingga 100 gerai dan jika respon menggalakkan dalam masa 10 minggu ini, pameran ini akan diadakan secara tetap dan diperluas ke negerinegeri lain.

Tiada ulasan: