HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2009

BN sedia bantu Badrul demi pengundi Pelabuhan Klang

Oleh: ROSLAN BIAN


PKR kini ibarat bom jangka yang sudah meletup. Lebih buruk lagi kesannya berangkai-rangkai.

Itu pendapat Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengulas tindakan Adun PKR Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar parti dan jadi calon Bebas.

Badrul yang sebelum ini dianggap wakil rakyat bermasalah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga membuat keputusan menyokong Barisan Nasional.

Menurut Dr Mohamad Khir tindakan terbaru Badrul selepas beberapa Adun PKR di Perak dan Kedah keluar parti adalah tindakan tepat dan betul.

Katanya, BN Selangor menyambut baik hasrat Badrul untuk bekerjasama walaupun sebagai wakil rakyat Bebas.

“Kita akan membantu beliau demi kepentingan pengundi-pengundi di Pelabuhan Klang,” katanya ketika dihubungi Agendadaily.

Ditanya mengenai wakil rakyat itu yang dianggap bermasalah, Dr Khir menjelaskan, “ mereka yang bermasalah mesti dibantu, bukannya seperti Khalid yang menyuruh meletak jawatan supaya diadakan pilihan raya kecil,”.

Beliau berkata, dengan pengalaman BN selama ini, parti itu boleh bersama-sama Badrul menyelesaikan masalahnya dan membantu pengundi-pengundi di kawasan Pelabuhan Klang.

Mantan Menteri Besar Selangor itu difahamkan, Badrul bertindak keluar parti kerana tidak puashati dengan kepimpinan Khalid serta cara pemimpin PKR menangani ahli-ahlinya.

“Ini juga satu tamparan hebat kepada Khalid selepas beliau digugurkan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurut Dr Mohamad Khir, ramai lagi pemimpin parti itu sudah mula tidak yakin dengan PKR yang dianggap parti tiga A iaitu Anwar, Datuk Seri (Wan) Azizah (Wan Ismail) dan Azmin Ali.

Beliau turut menyifatkan Pakatan Rakyat berdepan krisis berdasarkan apa berlaku dalam PKR seperti diakui Lim Kit Siang menerusi blognya manakala PAs pula nampak seolah-olah pecah dua.

Mengulas mengenai tindakan PAS Pusat mengarahkan Jwatankuasa Disiplin parti itu menyiasat Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, beliau percaya arahan itu kerana kelantangan Exco itu mempertikai beberapa peraturan kerajaan negeri Selangor.

“Bagi saya Dr Hasan bertindak betul dalam soal mencegah kemungkaran seperti dikehendaki Islam. Mungkin itu mahu menutup mulut beliau selepas ini,” katanya.

Menurut Dr Mohamad Khir, PAS berbuat demikian semata-mata mahu mengambil hati pemimpin bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Tiada ulasan: