HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2009

Bedah Siasat Baharu Rungkai Misteri Kematian Teoh: Khalid

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi kepercayaan penuh kepada pakar patologi antarabangsa, Dr Pornthip Rojanasunand untuk membongkar kematian Teoh Beng Hock.

Berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian cemerlang dalam bidang autopsi, Khalid berkata bedah siasat baru di bawah seliaan Dr Pornthip adalah langkah yang sewajarnya diambil.

“Saya rasa ini perlu kerana dia memberikan ketelusan kepada usaha yang dibuat sebab Dr Pornthip telah membuat beberapa andaian yang menyebabkan katanya lebih daripada 80 peratus kajian kita memihak kepada Teoh Beng Hock ialah diseksa dan menyebabkan terjadinya kematian Teoh Beng Hock. Kemudian dia juga telah mengatakan beberapa retak tulang itu adalah bukan sebab dia jatuh tetapi oleh sebab ada perkara-perkara yang lain”, kata Tan Sri Abdul Khalid.

Dr Pornthip dari Kementerian Undang-undang Thailand dilantik Kerajaan Selangor bagi membantu inkues menyiasat punca kematian pembantu kepada Exco Selangor itu.

Dr Pornthip menempa nama dalam pembabitannya membedah siasat mangsa tragedi Tsunami 2007 dan membongkar kes-kes rumit di Thailand.

Khalid berkata kerajaan negeri mahu bedah siasat baru dilakukan segera agar siasatan dapat dilakukan dengan lebih telus.

“Dari segi ketelusan, kerajaan negeri bersetuju supaya perkara ini dibuat dan memberikan peluang untuk keluarga Teoh Beng Hock untuk mendapatkan apa yang sebenarnya berlaku kepada anak mereka”, jelas Khalid lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian kepada Tv Selangor selepas merasmikan Jamuan Deepavali DUN Ijok di Ladang Tuan Mee, Sg. Buloh semalam.

Tiada ulasan: