HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2009

Pinjaman PTPTN dijadikan biasiswa

Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN


KUALA LUMPUR - Para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyambut baik langkah kerajaan mengubah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi biasiswa kepada pemegang ijazah kelas pertama.

Menurut mereka, langkah tersebut akan menggalakkan golongan pelajar mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Pelajar tahun satu Sarjana Sains Kimia Universiti Malaya (UM), Lailatun Nazirah berpendapat, ia satu bentuk penghargaan yang berbaloi kepada mahasiswa selepas mereka belajar bersungguh-sungguh.

''Memandangkan tidak semua mahasiswa yang tamat pengajian mampu membayar pinjaman PTPTN pada waktu yang ditetapkan, langkah terbaru kerajaan ini dilihat melegakan terutama kepada mereka yang memperoleh ijazah kelas pertama,'' katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2010 Jumaat lalu mengumumkan keputusan kerajaan untuk menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa jika pelajar yang terlibat berjaya mendapat ijazah kelas pertama.

Bagi pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Geografi dan Alam Sekitar UM, Mohd. Al Amin Mahusin, pengumuman itu membuatkan semangatnya berkobar-kobar untuk memperoleh ijazah kelas pertama memandangkan dia sekarang berada di tahun pertama.

''Sebelum ini pun kerajaan banyak berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara. Jadi usaha terbaru kerajaan menunjukkan mahasiswa juga tidak ketinggalan dalam mengecapi faedah Bajet 2010,'' ujarnya.

Sementara itu, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian India dan Sejarah UM, Y. Murugan memberitahu, pengumuman tersebut menunjukkan kerajaan memberi sokongan kepada mahasiswa yang cemerlang dalam pelbagai bidang di samping mengurangkan beban ibu bapa.

''Mahasiswa harus diutamakan kerana kami merupakan nadi utama kepada pembangunan dan masa depan negara. Pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama akan berasa lebih bersemangat kerana ada sokongan kewangan daripada kerajaan,'' ujarnya.

Pengumuman tersebut juga disambut baik oleh pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Maklumat UM, Jason Yap yang melihatnya sebagai dorongan kepada mahasiswa untuk berusaha lebih tekun dan menolak sikap membuang masa.

''Tawaran terbaru kerajaan itu selaras gagasan 1Malaysia yang sanggup mendahului usaha menangani permasalahan rakyat,'' katanya.

Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sejarah UM, Han Yen San pula yakin ia mampu mewujudkan persaingan yang sihat kepada mahasiswa serta dapat memberi galakan untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam memperoleh ijazah kelas pertama.

Sementara itu, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kaunseling UM, N. Asha Raj pula memberitahu, pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama tahun depan memang bertuah.

''Bagaimanapun jika ramai yang memperoleh ijazah kelas pertama, adakah pemberian biasiswa itu akan berterusan atau akan ada perubahan,'' soalnya.

1 ulasan:

Mutiara Naga berkata...

Info Yang bagus. Sedikit saya hendak kongsikan. Sekiranya ada diantara anda sedang mencari-cari biasiswa atau pinjaman. Usah risau dan kecewa, anda boleh dapatkan 40 Biasiswa 'Low Profile' di link ini >> Senarai Lubuk Biasiswa.