HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Oktober 2009

3,900 hidap barah usus setahun

Oleh LEE HOOI BOON


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan menganggarkan hampir 3,900 rakyat negara ini dilaporkan menghidapi barah usus setiap tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kaum Cina merupakan golongan tertinggi menghidap barah tersebut diikuti India dan Melayu.

''Satu kajian yang dilakukan oleh pihak kementerian menunjukkan masyarakat Cina terdedah kepada ancaman barah usus dengan peratusan 28.8, diikuti India (9.9 peratus) dan Melayu (7.1 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Barah Usus dan Hepatologi di Hospital Selayang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dan Perunding Kanan Genetik dari Brigham and Women's Hospital, Harvard Medical School, Boston, Amerika Syarikat, Prof. Datuk CC Liew.

Menurut Tiong Lai, kaum lelaki merupakan golongan yang mempunyai risiko paling tinggi menghidapi barah usus berbanding dengan golongan wanita di negara ini.

''Laporan kajian kesihatan Malaysia dari tahun 2003 hingga 2005 menunjukkan barah usus merupakan penyakit yang biasa dihidapi di kalangan lelaki yang mencatatkan sebanyak 14.5 peratus.

''Sementara itu, sejumlah 9.9 peratus wanita di negara ini menghidapi penyakit ini dan ia merupakan 'pembunuh ketiga' bagi golongan wanita selepas barah payudara dan barah pangkal rahim," katanya.

Katanya, laporan tersebut menunjukkan amalan cara pemakanan dan kehidupan merupakan punca utama yang menyebabkan seseorang menghidapi barah usus.

Menurutnya, individu yang kurang mengambil makanan berserat dan bersenam merupakan golongan yang mempunyai risiko tinggi menghidapi penyakit itu.

''Lantaran itu, rakyat Malaysia dinasihati supaya mengamalkan cara pemakanan seimbang dan sentiasa bersenam untuk menjauhkan diri daripada penyakit yang boleh dicegah itu," katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai juga berkata, sejumlah 18 pakar barah usus sedang berkhidmat di 13 hospital kerajaan seluruh negara.

Katanya, mereka ditempatkan di hospital Alor Setar, Ipoh, Klang, Ampang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Terengganu, Kota Bharu dan Kota Kinabalu.

''Selain itu, pada masa ini, seramai 13 doktor juga sedang menjalani latihan dalam bidang barah usus," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan memperkukuh dan mempertingkatkan perkhidmatan perubatan yang ditawarkan di hospital kerajaan supaya semua rakyat boleh mendapat manfaatnya.

Tiada ulasan: