HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Oktober 2009

KWSP untuk simpanan lepas bersara bukan tunai haji'

BERITA HARIAN ONLINE


KERAJAAN tidak bercadang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 50 tahun mengeluarkan sebahagian simpanannya untuk menunaikan haji.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata tujuan skim KWSP adalah untuk menyediakan simpanan persaraan bagi membiayai sara hidup apabila anggotanya sudah bersara.

"Pengeluaran dibenarkan oleh skim KWSP adalah hanya bagi tujuan yang berkaitan dengan persaraan atau menambah nilai simpanan untuk persaraan.

"Jadi, pengeluaran bagi tujuan menunaikan haji bukan saja tidak menepati objektif dan falsafah skim KWSP tetapi akan menjejaskan persaraan anggotanya pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan ingin membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan untuk menunaikan haji.

Dr Awang Adek berkata, pencarum KWSP yang berumur 50 hingga 54 tahun boleh mengeluarkan simpanan dalam Akaun II iaitu 30 peratus daripada jumlah simpanan di bawah Pengeluaran 50 Tahun untuk pelbagai tujuan termasuklah mengerjakan ibadat haji.

"Oleh itu, ahli boleh menggunakan kemudahan pengeluaran ini untuk menunaikan haji," katanya.

Selain itu, katanya, negara sudah memiliki Tabung Haji yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menyimpan bagi tujuan berkenaan.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak akan memansuhkan Seksyen 167 Akta Insurans 1996 dan Peraturan 6, Peraturan KWSP 2001.

Katanya, peruntukan Seksyen 167 Akta Insurans 1996 (Akta) menetapkan jika penama dalam sesuatu polisi bukan suami, isteri atau anak kepada pemilik polisi, maka penama hanya berhak menerima wang polisi sebagai wasi atau pentadbir.

"Penama juga berperanan sebagai wasi atau pentadbir jika penama bukan ibu atau bapa kepada pemilik polisi yang tidak berkahwin," katanya.

Tiada ulasan: