HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Oktober 2009

Program RTM perlu dikaji segera

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL


JELEBU – Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, program Radio Televisyen Malaysia (RTM) harus diolah semula untuk menjadikan ia menarik untuk tontonan rakyat.

Kata Rais, ketika ini tiada kekemasan dalam program yang diterbitkan stesen ini sehingga perlu satu suntikan untuk mengembalikan keremajaannya.

‘‘Dari segi teknikal tidak menjadi masalah tetapi apa yang menjadi punca ialah pengisian program dan kandungannya supaya lebih menarik dan menjurus kepada rakyat berumur dalam lingkungan 30-an ke bawah.

‘‘Kita perlu memperbanyakkan program yang mengisi aspirasi rakyat tetapi kita tidak boleh mengikut selera rakyat 100 peratus. Namun, kita perlu kreatif dalam menjadikan sesuatu program itu lebih menarik dan dipelbagaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 119 bakal Haji anjuran UMNO Jelebu di Dewan Budaya, di sini petang ini yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Jalaluddin Alias.

Rais mengulas mengenai program RTM yang terus ketinggalan berbanding rancangan yang disiarkan stesen radio dan televisyen swasta berdasarkan keputusan terbaru kajian AC Nielsen.

‘‘Esok, selepas mesyuarat Kabinet, kita akan bawa perkara ini secara serius. Yang penting bagi kakitangan RTM ini ialah bagaimana kita boleh memperbaikinya.

‘‘Misalnya isu bagaimana kita memaklumbalaskan sesuatu program. Katalah isu berkaitan pembangunan, di akhir program mestilah ada persoalan seperti apa pandangan anda terhadap program ini. Ini yang tidak dibuat,” tegasnya.

Untuk itu kata Rais, mulai sekarang RTM perlu berterus terang, sekiranya sesuatu program kelihatan lemah dan ia hendaklah dinyatakan sebabnya.

Tiada ulasan: