BERNAMA
SEPANG: Dua rakyat Malaysia yang terselamat dalam serangan bom dan roket ke atas Hotel Serena, Kabul, Afghanistan, Rabu lalu, Jagdish Singh dan S.Sivanathan hari ini menceritakan saat-saat cemas yang mereka lalui di negara yang bergolak itu.
Ketika menceritakan detik cemas itu, Jagdish, 40, berkata beliau dan rakan setugas Sivanathan, 29, kebetulan sedang bersarapan di tempat lain semasa serangan itu berlaku jam 8.25 pagi (waktu tempatan).
"Kami sangat bertuah tidak berada di lobi hotel kerana sedang menikmati sarapan di restoran berdekatan yang jaraknya hanya 30 meter dari tempat kejadian.
"Kami sepatutnya berada di lobi hotel itu pada 8.30 pagi bagi menunggu seorang Menteri Komunikasi Teknologi Maklumat Afganistan untuk menghadiri satu mesyuarat tetapi tidak berbuat demikian," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Jagdish dan Sivanathan adalah kakitangan International Multilateral Partnership Against Cyber Threats (IMPACT) tiba di KLIA 7.05 minit pagi tadi dengan pesawat MH191.
Mereka berdua sepatutnya berada di Kabul sehingga 3 November ini, namun disebabkan kejadian itu, mereka terpaksa meninggalkan negara berkenaan dengan kadar segera.
Jagdish berkata semasa di restoran mereka dapat melihat dengan jelas sebuah roket menghentam lobi hotel kediaman mereka menyebabkan seluruh kawasan itu bergegar dan suasana menjadi kelam kabut ditambah dengan asap tebal.
Katanya mereka termasuk orang awam lain kemudian diarah pihak keselamatan hotel supaya berlindung di satu ruang khas bawah tanah hotel tersebut.
"Nasib baik laluan ke bawah tanah itu dekat dengan restoran jadi kami mudah untuk sampai ke situ. Walaupun berada di bawah tanah, gegaran masih terasa dan kedengaran empat lagi letupan di luar," katanya yang terpaksa berlindung di bawah tanah itu selama dua jam sebelum dibenarkan pulang ke hotel.
Sivanathan dan Jagdish berada di Kabul bermula 18 Oktober lalu dalam projek usaha sama antara IMPACT dan Kesatuan Telekomunkasi Antarabangsa (I-T-U) bagi mengendalikan penilaian keselamatan siber dan latihan kepada pegawai kerajaan Agfhanistan.
Mereka memuji kecekapan dan kepantasan bahagian keselamatan hotel yang pantas bertindak menyelamatkan mereka.
Dalam serangan yang mensasar pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, seramai 12 orang terkorban termasuk enam petugas PBB, dua pengawal keselamatan dan seorang orang awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan