HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Oktober 2009

Penyeludup guna bengkel sembunyi beras seludup

BERNAMA


PASIR MAS: Taktik penyeludup menggunakan bengkel kenderaan sebagai transit pengumpulan beras yang diseludup dari negara jiran gagal apabila kegiatan mereka ditumpaskan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Supt. Rooslan Radzi berkata rampasan berkenaan dilakukan di kawasan kampung Kelar di sini, kira-kira jam 3 petang semalam hasil intipan selama tiga hari.

"Ketika intipan dilakukan, anggota PGA mendapati beras-beras berkenaan dipunggah menggunakan beberapa buah kereta jenis Proton Wira, Waja dan Perodua Kancil dari pangkalan haram Lubok Gong di Rantau Panjang," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata beras berkenaan kemudian dikumpulkan dalam sebuah treler di bengkel sebelum dibawa keluar untuk pasaran Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

"Hasil pemeriksaan terhadap treler itu menemui 230 kampit beras seberat 11,500 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM34,500," katanya.

Menurutnya bengkel berkenaan sengaja digunakan oleh penyeludup untuk mengumpul beras yang diseludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kesemua beras yang dirampas akan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut dan tiada tangkapan dibuat dalam serbuan itu kerana penyeludup berkenaan berjaya melarikan," katanya.

Tiada ulasan: